Selepas kejayaan sensasi menundukkan juara bertahan Korea Selatan dalam aksi kedua Kumpulan E, Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) nampaknya semakin berani meletakkan sasaran lebih tinggi terhadap skuad B-23 Malaysia.

Malaysia bimbingan Dato’ Ong Kim Swee melangkah ke pusingan 16 terakhir selaku juara kumpulan sekaligus menepati sasaran awal diletakkan badan induk itu, namun Presiden FAM Dato’ Hamidin Amin berpendapat pencapaian itu tidak boleh terhenti di situ.

Hamidin mahu langkahan diteruskan ke peringkat suku akhir malahan cuba mencipta kejutan untuk melangkah ke separuh akhir dan cuba untuk membawa pulang pingat dari temasya itu buat pertama kali sejak 1974.

“Kita sudah membuktikan tiada apa yang mustahil dan saya yakin pemain-pemain dalam motivasi yang cukup baik ketika ini untuk meneruskan lagi kejutan, tetapi saya berharap mereka tidak terlalu terbuai dengan kejayaan tempoh hari, ia sudah menjadi satu sejarah dan kini kita kena pandang ke depan.

“Masih ada satu lagi perlawanan peringkat kumpulan, walaupun apa sahaja keputusan perlawanan tidak akan merubah kedudukan kita selaku juara Kumpulan E, saya berharap pemain-pemain tetap akan menunjukkan kualiti permainan yang baik untuk mengekalkan rekod kemenangan.

“Ia akan menjadi tonik terbaik untuk menghadapi aksi pusingan kedua, kita tidak perlu bermain dalam tekanan kerana sasaran awal sudah dipenuhi.Jika kita menggandakan usaha dan komitmen kita boleh layak ke suku akhir, dan separuh, malah boleh cuba untuk membawa pulang pingat,” kata Hamidin.

Malaysia membuka tirai kempen Sukan Asia Jakarta Palembang 2018 dengan menewaskan Republik Kyrgyz 3-1 menerusi jaringan Safawi Rasid, Akhyar Rashid dan Syafiq Ahmad sebelum melakar kejutan terbesar dalam edisi kali ini dengan kemenangan 2-1 ke atas Korea Selatan.

Safawi menjaringkan kedua-dua gol di separuh masa pertama dalam kemenangan itu yang membolehkan Malaysia muncul pendahulu Kumpulan E dengan enam mata, Korea Selatan di tangga kedua (3 mata) diikuti Republik Kyrgyz dan Bahrain masing-masing satu mata.

Kim Swee dijangka merehatkan beberapa tonggak utama apabila pasukan negara turun menentang Bahrain dalam aksi terakhir kumpulan pada Isnin.

Walaupun Malaysia tewas perlawanan itu manakala Korea Selatan pula menang ke atas Kyrgyz, Malaysia akan kekal selaku juara kumpulan kerana berdasarkan rekod pertemuan (head-to-head) antara Malaysia dan Korea Selatan. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -