Malaysia mungkin terpaksa melupakan tiga sukan yang menjai potensi utama bagi perebutan pingat emas apabila berkemungkinan besar tidak tersenarai dalam 36 jenis sukan yang akan dipertandingkan di Sukan SEA 2021 di Vietnam tahun depan.

Selepas mesyuarat Majlis Persekutuan Sukan SEA (SEAGF) Khamis lalu, tiga sukan yang seringkali dilabel sebagai lubuk emas negara, iaitu skuasy, pelayaran dan ragbi tidak berada dalam senarai awal.

Selain tiga sukan ini, Vietnam juga turut menolak 14 jenis sukan yang dipertandingkan di Sukan SEA Filipina pada 2019 iaitu, lari berhalangan, triathlon, papan selaju, jiujitsu, esports, soft tenis, sambo, surfing, wakeboarding, penthathlon, windsurfing, baseball, softball dan dualthlon.

Penganjur Sukan SEA edisi ke 31, Vietnam setakat ini memutuskan untuk menganjurkan 36 jenis sukan sahaja susulan pandemik Covid 19 yang melanda seluruh dunia termasuk negara negara ASEAN ketika ini.

Berdasarkan mesyuarat yang telah diadakan menerusi sidang video, olahraga, akuatik, memanah dan badminton antara sukan sukan teras yang berada dalam senarai.

Selain itu, turut tersenarai, sukan bola keranjang (5-on-5 dan 3-on-3), tinju, snooker dan billiard, kanu/kayak, catur, xiangqi atau catur China, serta berbasikal lebuhraya atau basikal bukit (mountain bike).

Vietnam juga menyenaraikan beberapa lagi sukan; tarian, pedang, bolasepak, futsal, golf, gimnastik artistik dan seirama, bola baling dalam dewan dan pantai, judo, karate, muay, pancak silat, petanque, rowing, sepak takraw, menembak (pistol, rifle dan shotgun), ping pong, taekwondo, dan tenis.

 

Bola tampar dalam dewan dan pantai, angkat berat, gusti (greco roman dan freestyle), renang (finswimming), angkat berat, wushu, kurash, kick boxing dan seni mempertahankan diri di Vietnam iaitu vovinam juga antara yang berada dalam senarai awal yang berada dalam pertimbangan tuan rumah.

Kesemua sukan ini masih belum dimuktamadkan sepenuhnya kerana mesyuarat kedua yang dijangka berlangsung pada 21 Julai dimana negara negara peserta perlu menyenaraikan sukan sukan pilihan mereka sebelum mengemukakannya atau membuat rayuan kepada Jawatankuasa Penganjur Sukan SEA Vietnam.

Segalanya bergantung kepada Vietnam samada tetap dengan pendirian untuk mengekalkan 36 jenis sukan atau sebaliknya.

Daripada 36 jenis sukan ini, Vietnam menjelaskan dua per tiga daripadanya merupakan sukan sukan yang dipertandingkan di Olimpik dan Sukan Asia.

Juara Sukan SEA ke 30, Filipina tidak senang duduk dengan keputusan yang dibuat oleh Vietnam kerana ia merencatkan matlamat untuk mengekalkan status selaku juara keseluruhan untuk kali kedua berturut turut.

 

 

- Advertisement -