mas22-bru

Oleh Muhammad Aiman

Penyerang Kedah, Syafiq Ahmad sekali lagi muncul penyelamat skuad Malaysia B-22 apabila jaringan tunggalnya pada minit ke-11 membantu pasukan negara melakar kemenangan 1-0 ke atas pasukan senior kebangsaan Brunei petang tadi.

Penyerang muda Kedah itu melepasi perangkap ofsaid untuk menerima hantaran rakan sepasukan sebelum merembat menewaskan penjaga gol Wardun Yusuf, sekaligus meraikan  gol ketiganya dalam dua perlawanan terakhir.

Khamis lalu, Syafiq yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan dua gol dalam kemenangan 2-0 ke atas pasukan sama di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi.

Dan dalam aksi berlangsung di gelanggang sama pada Sabtu, jurulatih Frank Bernhardt membuat lima pertukaran pada kesebelasan utama dengan memberi peluang beraksi kepada penjaga gol Ahmad Syihan Azmi, Zulkhairi Zulkeply (pertahanan), Danial Ashraff (tengah)  selain Syafiq dan Arif Anwar (penyerang).

Skuad projek Sukan Sea 2017 itu bagaimanapun dilihat kurang menyengat, tidak banyak mencipta gerakan atau peluang-peluang berbahaya, dan hanya mampu melakukan empat percubaan tepat ke gawang Brunei sepanjang 90 minit permainan.

Pada sidang media selepas perlawanan, Bernhardt berkata, “Kita kehilangan empat pemain utama yang mengalami kecederaan selepas perlawanan pertama tempoh hari. Saya terpaksa membuat pertukaran, dan langsung tidak dapat bermain cara permainan kita di separuh masa kedua. Ia lebih kepada mencari keputusan berbanding bermain bola.”

Dalam masa sama, jurulatih dari Jerman itu sekali lagi menyuarakan betapa ianya sukar membentuk persefahaman, keserasian serta sebuah skuad yang mantap apabila dia tidak mendapat lebih banyak masa untuk bersama pasukan. 

“Memang ada beberapa kelemahan yang ketara dari segi cara bermain, menyerang, sentuhan penyudah, tetapi bagaimana mahu fokus untuk perbaiki kelemahan tersebut apabila kita hanya mendapat pemain 2-3 hari sebelum perlawanan. Apabila tidak cukup masa berlatih dan perbaiki kelemahan maka inilah keputusannya.

“Dalam tempoh sembilan bulan saya melatih pasukan ini, saya cuma berpeluang bersama mereka lapan minggu secara keseluruhan. Ini bukan Jerman, yang mana apabila pemain datang mereka sudah tahu semuanya. Banyak perkara kita perlu ulang kerana seperti saya kata sebelum ini, pemain terikut dengan kaedah latihan bersama pasukan negeri masing-masing.”  

- Advertisement -