Persatuan Bolasepak Kuala Lumpur (KLFA) sebelum ini telah menetapkan klausa pelepasan perpindahan sebanyak RM1.6 juta ke atas kontrak pemain pertahanan kiri meningkat naik, Syazwan Andik Ishak.

Ini bermakna mana-mana pasukan yang berminat mendapatkan pemain kebangsaan itu yang dilaporkan mempunyai kontrak sehingga hujung 2019 dengan skuad warga kota perlu membayar jumlah tersebut kepada KLFA.

Namun, pemain itu pada Jumaat membuat pengumuman bahawa dia telah menamatkan kontraknya dengan Kuala Lumpur dan kini bergelar ejen bebas.

“Saya telah menamatkan kontrak saya bersama pasukan Kuala Lumpur kerana sudah dua bulan saya tidak menerima gaji. Untuk bulan November dan Disember. Terdapat satu syarat dalam kontrak saya dengan KLFA yang membenarkan saya menamatkan kontrak jika saya tidak menerima gaji untuk dua bulan.Ā 

“Saya telah memberi surat kepada Ketua Jurulatih Yusri Che Lah pada 9 Januari dan memberitahunya tentang hasrat saya untuk menamatkan kontrak. Saya juga telah menghantar e-mel kepada KLFA untuk menamatkan kontrak atas sebab tidak menerima gaji,” katanya dalam satu kenyataan.

Sehingga ke saat ini, belum ada kepastian mengenai halatuju Syazwan Andik namun dia telah menarik minat beberapa pasukan termasuklah Selangor, JohOr Darul Takzim dan Melaka United.

Dalam pada itu, Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Melaka United, Datuk Wira Yusoff Mahadi berkata status Syazwan Andik sebagai ejen bebas bermakna KL tidak boleh menuntut klausa perpindahan yang ditetapkan.

ā€œKlausa perpindahan adalah kepada pemain yang masih terikat kontrak dengan pasukannya. Syazwan Andik pula tidak terikat dengan KL, dia sudah bebas kerana gajinya tidak dibayar yang menyebabkan kontraknya terbatal dan dia boleh memilih pasukan baru untuk disertai,ā€ katanya.

Jika apa yang dikatakan oleh Yusoff adalah benar, maka kemungkinan besar perpindahan Syazwan Andik ke pasukan baru adalah secara percuma, bukannya RM1.6 juta.

Syazwan Andik memulakan karier bersama skuad Harimau Muda B menyertai Johor Darul Takzim II pada 2016 namun namanya betul-betul melonjak adalah ketika bersama skuad bawah 22 tahun kebangsaan kendalian Frank Bernhardt dan kemudiannya Datoā€™ Ong Kim Swee.

Kejayaan skuad muda negara muncul pemenang pingat perak Sukan SEA Kuala Lumpur 2017 dan kemudiannya mara ke suku akhir Kejuaraan AFC B-23 di China pada Januari 2018, mengukuhkan nama Syazwan Andik sebagai salah seorang pemain pertahanan kiri terbaik dalam negara sehingga dia dipanggil pula memperkuatkan skuad senior kebangsaan.

Syazwan Andik turut merupakan salah seorang tonggak skuad Harimau Malaya yang muncul naib juara Piala AFF Suzuki 2018 pada bulan lalu. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -