foto – thepknsfc.com

 

 

Pemain kebangsaan Kyrgystan, Tamirlan Kazubaev menjadi rekrut terbaharu pasukan PKNS FC seterusnya melengkapkan kuota pemain import skuad kendalian Datuk K Rajagobal.

Kazubaev yang berumur 24 tahun dan berketinggian 1.88 meter beraksi di posisi pertahanan tengah serta bermain untuk negara beliau di kempen Piala Asia 2018 di Emiriah Arab Bersatu, baru-baru ini namun terkandas di Pusingan Kedua setelah tewas kepada tuan rumah dengan keputusan 3-2.

Walaupun mendapat beberapa tawaran dari kelab di Uzbekistan dan Indonesia, Kazubaev akhirnya memilih pasukan PKNS FC.

“Saya pernah dua kali menentang pasukan kebangsaan Malaysia sebelum ini dan ini merupakan faktor utama saya memilih pasukan PKNS FC.

“Saya juga berharap dapat mengekalkan prestasi di tahap terbaik supaya dapat membantu PKNS FC membawa pulang satu piala seperti yang ditetapkan pihak pengurusan,” kata Kazubaev yang baru sahaja melangsungkan perkahwinan pada minggu lepas.

Sementara itu Pengurus PKNS FC, Mahfizul Rusydin Abdul Rashid berharap dengan kemasukan Kazubaev dapat memantapkan pasukan menjelang perlawanan pertama Liga Super.

“Saya harap Kazubaev cepat menyesuaikan diri dengan rakan sepasukan memandangkan Liga Super hanya tinggal beberapa hari sahaja lagi,” tambah Mahfizul.  thepknsfc.com

 

- Advertisement -