Terengganu mengesahkan tempat ke separuh akhir Divisyen 1 saingan hoki Piala Ketua Polis Negara di Stadium Hoki Belia di Kuantan, Pahang, hari ini.

Pasukan dari Pantai Timur itu menewaskan Briged Tenggara 2-1 dan Negeri Sembilan 3-0 bagi menghuni tangga teratas Kumpulan B dengan mengumpul enam mata.

Dalam perlawanan yang berlangsung disebelah pagi menentang Bridged Tenggara, Azrul Hisham meledak gol pertama Terengganu menerusi jaringan padang pada minit ke-29 tetapi Ahmad Nazri Senin menyamakan kedudukan menerusi pukulan sudut penalti minit ke-39.

Bagaimanapun, Terengganu meraih gol kemenangan menerusi pukulan sudut penalti yang disudahkan Muhamad Ashraf Abdul Halim pada minit ke-44.

Aksi di sebelah petang pula menyaksikan Negeri Sembilan menjadi mangsa Terengganu apabila menang 3-0 menerusi dua gol dijaringkan Hisham Zahari pada minit ke-40 dan 46 serta Muhamad Ashraf meledak gol ketiga.

Terdahulu, Negeri Sembilan menewaskan Perlis 2-1 menerusi jaringan padang M Ravinder minit ke-4 dan Mohd Hafiz Pahror Radzi minit ke-24. Perlis meraih satu gol menerusi Ruslang Nurain minit ke-34.

Pasukan bukan pilihan, Melaka juga melakar kemenangan ke atas Perlis 2-0 dalam satu lagi aksi Kumpulan B.
Ia adalah kekalahan kedua berturut-turut Perlis pada hari pertama kejohanan.

“Kami hanya menjalani latihan bersama sejak 10 hari lalu. Ia kemenangan yang cukup positif untuk kami tetapi masih ada banyak kelemahan yang perlu diperbaiki,” kata pengurus Melaka, ASP K. Mahadevan.

“Pukulan sudut penalti kami masih lemah dan saya sudah mengarahkan jurulatih untuk memperbaiki kelemahan itu sebelum kami menghadapi baki perlawanan peringkat kumpulan. Kami meraih enam pukulan sudut penalti tetapi hanya satu berjaya disudahkan.”

Melaka meraih jaringan menerusi Suher Romzie Jamaluddin pada minit ke-26 dan Shamsul Arif Sulaiman minit ke-40.

Sabah turut melakar kemenangan apabila menewaskan Kelantan 3-1 dalam aksi Kumpulan A.

Kemenangan itu cukup positif buat Sabah yang kembali beraksi dalam kejohanan berkenaan selepas 22 tahun.

Kali terakhir Sabah menyertai Piala Ketua Polis Negara adalah pada 1996.

“Kami kembali bersaing selepas 22 tahun dan harapan yang diletakkan cukup tinggi kepada kami. Namun, saya gembira dengan prestasi ditunjukkan pemain hari ini dan berharap mereka dapat mengekalkannya,” kata pengelola pasukan Sabah, Supt. Nor Azizulkifli Mansor.

“Kami meletakkan sasaran untuk mara ke separuh akhir dan ia akan menjadi pencapaian yang membanggakan.”
Mohd Firdaus Abdul Ghani, Samsualan Samsudin dan Rozaimay Amir masing-masing menjaringkan gol padang buat Sabah pada minit ke-20, 25 dan 33.

Satu gol Kelantan dijaringkan Mohd Hakimy Muhammad menerusi pukulan sudut penalti minit ke-42.

Dalam satu lagi aksi Kumpulan A, Kedah mencerahkan peluang untuk ke separuh akhir apabila menewaskan Bridged Tenggara 2-1.
Sembilan pasukan bersaing dalam saingan Divisyen 1 untuk merebut Piala Ketua Polis Negara.

- Advertisement -