Aksi sulung kempen Liga Super musim 2019, Terengganu FC tidak mahu diakhiri dengan senario keciciran mata ketika melayan kunjungan PKNS FC pada Jumaat.
Ketua Jurulatih TFC, Irfan Bakti Abu Salim mengharapkan persiapan yang telah dilakukan sebelum sepak mula musim 2019 berbaloi ketika melayan kunjungan PKNS FC.
“Perlawanan pertama ini bagi saya amat penting untuk mengutip mata kerana ini memberi semangat kepada pemain bagi hadapi perlawanan seterusnya dan setelah mengharungi beberapa perlawanan persahabatan di Vietnam dan Kuala Lumpur, saya sudah mengenalpasti kelemahan dan kekuatan pasukan kita,”kata Irfan.
Beliau juga mengingatkan pemain pemain agar tidak terlalu berhati-hatii ketika menghadapi skuad Semut Merah pada aksi pembukaan Liga Super 2019 esok.
Ketika Liga Super 2018, skuad kendalian Irfan Bakti gagal melakar kemenangan ke atas PKNS FC dimana Terengganu FC melakar keputusan seri 2-2 dilaman sendiri sebelum tewas 0-4 di gelanggang lawan.
Namun, prestasi skuad Penyu pada tahun lalu tidak terlalu mengecewakan apabila menamatkan Liga Super dikedudukan kelima selain muncul naib juara Piala Malaysia.