Menteri Belia dan Sukan Khairy Jamaluddian Abu Bakar berpendapat adalah tidak adil untuk menilai prestasi Ketua Jurulatih Harimau Malaya, Nelo Vingada ketika ini.

Pengendali kelahiran Portugal itu memerlukan masa untuk membentuk selain mencongak formula terbaik untuk skuad kebangsaan.

Vingada memulakan kariernya sebagai Ketua Jurulatih Harimau Malaya dengan langkah kiri susulan kekalahan 1-2 kepada Lubnan dalam aksi pembukaan Kelayakan Piala Asia 2019 di Larkin selasa lalu.

“Saya telah menonton perlawanan itu sepenuhnya di tv, dan saya melihat bahawa kalau kita ambil separuh masa pertama sebagai contoh, kita melihat banyak perubahan yang positif. Satu permainan yang kemas, tenang, organisasi yang baik dan disiplin yang tinggi.

“Ini menggambarkan masa depan pasukan kebangsaan kita. Sudah pasti kalau tengok dari segi keputusan pun, Lubnan ini satu pasukan yang ranking jauh lebih tinggi dari pasukan kebangsaan kita.

“Ini satu keputusan yang baik sebab kita menghampiri keputusan seri sampai ke saat yang terakhir. Jadi kita perlu positif dalam perkara ini,” kata Khairy.

Dalam perkembangan berasingan, Khairy melihat perkembangan positif dipamerkan skuad bawah 22 taun negara sepanjang aksi persahabatan di China.

Skuad Datuk Ong Kim Swee tewas 0-1 kepada skuad bawah 22 tahun China, seri menentang pasukan simpanan Guangzhou R&F dan menang 3-0 ke atas pasukan simpanan Guangzhou Evegrande.

“Kita ada dua bulan lagi dan yang penting, adalah pemain sampai kepada kemuncak prestasi pada temasya Sukan SEA nanti,” katanya lagi.

Pasukan B-22 akan beraksi dalam perlawanan kelayakan Bawah 23 Tahun AFC pada 15-23 Julai sebelum kembali ke tanah air dalam misi memburu pingat emas di temasya Sukan SEA ke 29. – OLEH KU MOHD LUFTI

- Advertisement -