Biarpun berstatus ‘Reserve Team’, Terengganu FC II sama sekali tidak mahu jadikan faktor itu sebagai alasan yang mereka tidak akan memberikan saingan kompetitif kepada pencabar lain di Liga Premier.

Bakal dikendalikan bekas pemain Terengganu pada lewat 90-an, Badrul Afzan Razali, bagi menggantikan Roshadi Wahab, TFC II ada ramuan menjadi pasukan pilihan berbekalkan ramai pemain muda berbakat selain kehadiran tiga tonggak import yang sudah sinonim dengan kancah Liga Malaysia iaitu Jordan Mintah, Argzim Redzovic serta bekas pertahanan Felda United FC dan Kelantan, Masaki Watanabe.

Jelas Badrul, tidak banyak perubahan berlaku dalam Terengganu FC II apabila sebahagian besar pemain musim lalu dikekalkan dengan hanya dua pemain iaitu Alif Zakaria dan Engku Nur Shakir Engku Yacob dinaikkan ke Terengganu FC.

Justeru, beliau melihat soal keserasian sesama pemain bukanlah satu masalah besar dan yakin sasaran berada dalam kalangan lima terbaik mampu direalisasikan.

“Saya akan cuba teruskan kecemerlangan Terengganu FC II dalam saingan Liga Malaysia dalam beberapa musim ini seperti mana tahun lalu, apabila pasukan ini mampu meraih tangga kedua Liga Premier.

“Walaupun tahun ini kami gunakan tiga sahaja import berbanding empat pada musim lalu, itu bukan alasan buat kami tidak mampu beri berikan cabaran.

“Melalui persiapan yang sedang dilakukan terutama pada dua aksi persahabatan terakhir (UiTM FC, Sri Pahang FC) saya berpuas hati dengan apa ditunjukkan oleh semua pemain.

“Saya harap aspek positif ini dapat diterjemahkan dalam aksi liga nanti selain mengharapkan pemain seperti bekas penyerang Bawah-23 tahun, Izzan Syahmi mampu berikan impak kepada pasukan,” katanya.

Selain itu, Badrul melihat Mintah sebagai salah satu aset penting kepada pasukan selepas musim lalu meledak tujuh gol dalam sebelas perlawanan Liga Premier.

Beliau tidak nafikan Mintah antara penyerang yang begitu klinikal di hadapan gawang lawan namun dalam masa sama mengharapkan sokongan daripada pemain lain bagi memastikan beban dalam mendapatkan jaringan tidak terbeban di bahu Mintah.

“Mintah bagi saya ialah seorang penyerang yang punyai penyudah yang baik dan sentiasa hadirkan masalah kepada lawan kerana dia ada kualiti tersendiri.

“Bagaimanapun, bola sepak adalah permainan sepasukan, jadi semuan pemain perlu bekerjasama dan tidak boleh harapkan dia seorang sahaja untuk mendapatkan gol,” katanya.

Terengganu FC II akan menentang Skuad Projek FAM-MSN dalam aksi pertama Liga Premier 2021 pada 6 Mac.

- Advertisement -