Terengganu Hockey Team (THT) bermula garang apabila mengatasi Sabah dengan jaringan besar 11-0 pada perlawanan pembukaan Liga Hoki Malaysia (MHL) yang berlangsung di Stadium Hoki Nasional petang ini. 

Penyerang kebangsaan Faizal Saari mengorak langkah awal memburu status sebagai penjaring terbanyak dengan ledakan empat gol manakala Shello Silverius dan Akhimullah Anuar Esook masing-masing menyumbang dua gol untuk meletakkan THT pada kedudukan seleasa sebagai pendahulu  liga. 

THT, yang menetapkan sasaran memenangi sekurang-kurang satu piala musim ini, nyata bukan tandingan Sabah yang rata-rata dibarisi pemain muda dari skuad SUKMA.

Gandingan penyerang prolifik THT –Faizal, Silverius dan Akhimullah – nyata hadir sebagai igauan buat skuad muda Sabah yang tampil buat kali pertama dalam saingan MHL kali ini. 

Seawal minit ke-3, Faizal meletakkkan THT di hadapan menerusi penalti strok sebelum Silverius melebar kedudukan dengan dua gol (minit ke-6 dan 29) sebelum berakhirnya separuh masa pertama.

Akhimullah sebelum itu menjadikan kedudukan 4-0 dengan jaringan padang pada minit ke-28. 

Serangan bertali arus THT gagal diserap dan memaksa barisan pertahanan Sabah bekerja keras agar tidak dibolosi dengan jaringan lebih besar. THT memperkukuh kedudukan dengan corak permainan lebih kemas pada separuh masa kedua dengan ledakan besar 7 gol menerusi Muhammad Arif Syafi Ishak (min ke-34), Faizal (minit 40, 41 dan 55), Mohd Akhimullah (45) Muhammad Sufi Ismat Rohulamin (51) dan Nukman Hakim Mohamad pada minit ke-57. 

Jurulatih K. Rajan tidak menyangka meraih kejayaan besar dan menyifatkannya sebagai permulaan yang baik untuk merealisasi sasaran THT musim ini. “Biarpun agak perlahan pada separuh pertama, saya gembira kerana pemain dapat mengawal rentak permainan pada dua suku terakhir. Tekanan demi tekanan nyata meletihkan pemain Sabah,” kata beliau. 

Pertemuan menentang juara bertahan UniKL pada Ahad ini menjadi fokus THT seterusnya untuk memperkukuh  kedudukan. “Kami sudah bersedia,” ujar beliau. 

Sementara itu, Faizal juga berpuas hati dengan kejayaan besar THT sambil menyifatkan kemenangan 11-0 itu sebagai pencetus semangat untuk perlawanan seterusnya. “Memang lega dengan kejayaan ini, tetapi kini kami perlu fokus pada tugas seterusnya menentang UniKL yang pasti mencabar,” kata beliau. 

TNB Thunderbolts 0-5 Maybank

Sementara itu, bekas juara dua kali, Maybank mengatasi halangan pertama dengan kejayaan mengatasi skuad muda TNB Thunderbolts 5-0. 

Hafifihafiz Hanafi (minit ke-6 dan 52) dan Amirrullah Zainol (minit ke-25 dan 58) masing-masing meledak dua gol untuk memberikan tiga mata penuh buat Maybank yang meletakkan sasaran berada dalam kelompok tiga pasukan teratas musim ini. 

Jaringan padang Syamim Naim Abd Hamid pada minit ke-59 melengkapkan kemenangan besar Maybank yang berdepan UiTM pada perlawanan kedua mereka Ahad ini. 

Nurinsafi HT/Sports 0-3 Universiti Teknologi Mara (UiTM)

Dalam satu lagi perlawanan, UiTM mempamerkan corak permainan kemas pada dua suku terakhir bagi mengutip tiga mata penuh selepas menumpaskan Nurinsafi HT/Sports 3-0. 

Skuad UiTm yang dibarisi gabungan pemain UiTM dan beberapa Institusi Pengajian Tinggi Awam dan Swasta lain serta beberapa bekas pemain kebangsaan, terpaksa bergelut sehingga minit ke-29 sebelum meledakkan jaringan menerusi pukulan sudt penalti Nor Azrul Rahman. 

UiTM muncul dengan corak permainan lebih kemas pada separuh kedua dengan asakan bertali arus yang akhirnya membolosi benteng lawan menerusi Muhammad Rashid Baharom (minit ke-33) dan jaringan padang Danial Ashraf Abdul Ghani pada minit ke 46. 

Jurulatih UiTM Mohd Nor Aqmal Abdul Ghaffar puas hati dengan prestasi anak buahnya biarpun mengakui agak kelam kabut pada separuh masa pertama. 

“Amat lega dengan kemenangan pertama ini…pada awal permainan, pemain agak kelam kabut tetapi pada separuh masa kedua, mereka berjaya menguasai rentak permainan,” kata beliau. 

 

PERLAWANAN SETERUSNYA: 

Jumaat, 12 Mac

Piala Sumbangsih: UniKL mln TNB (8.00 pm) 

(Stadium Hoki Nasional, Bukit Jalil)

- Advertisement -