KUALA TERENGGANU 18 SEPTEMBER 2016. Pemain THTmeraikan kemenangan selepas menjuarai Liga Hoki Malaysia (MHL) 2016 buat kali ke tiga berturut-turut Pada perlawanan Liga Hoki Malaysia (MHL)-TNB Pasukan THT menentang TNB di Stadium Hoki Batu Buruk. NSTP/ASWADI ALIAS.
KUALA TERENGGANU 18 SEPTEMBER 2016. Pemain THT meraikan kemenangan selepas menjuarai Liga Hoki Malaysia (MHL) 2016 buat kali ke tiga berturut-turut Pada perlawanan Liga Hoki Malaysia (MHL)-TNB Pasukan THT menentang TNB di Stadium Hoki Batu Buruk. NSTP/ASWADI ALIAS.

Oleh Muhammad Aiman

Terengganu Hockey Team (THT) memastikan kejuaraan Liga Hoki Malaysia kekal milik mereka buat tahun ketiga berturut-turut setelah menewaskan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 3-1 di Stadium Hoki Batu Buruk, Kuala Terengganu pada Ahad.

Setelah permulaan suram dan pada satu ketika dilihat sukar mempertahankan kejuaraan dek aksi hambar, THT bangkit tepat pada waktunya untuk merubah nasib mereka menerusi kemenangan ke atas pencabar terdekat Sapura dan Kelab Hoki Kuala Lumpur (KLHC) dalam dua aksi terdahulu.

Dan dalam aksi menentang TNB, skuad bimbingan Sarjit Singh itu tampil garang membuktikan kredibiliti mereka apabila mendahului 3-0 dalam tempoh 32 minit permainan berlangsung menerusi jaringan penalti strok Fitri Shaari, Tengku Ahmad Tajudin Abdul Jalil dan Ismail Abu sebelum TNB menjaringkan gol saguhati menerusi Ramadan Rosli.

Kemenangan itu membolehkan THT muncul juara dengan mengumpul 22 mata, satu mata mengatasi Sapura dan dua mata mengatasi KLHC yang mana masing-masing turut menamatkan aksi liga dengan catatan  kemenangan.

“Ini sama sekali tidak dijangka, saya perlu berterima kasih kepada pemain saya. Semua tahu di mana kedudukan kami selepas berakhir pusingan pertama, namun pemain-pemain bekerja keras mengubah nasib dan memperbaiki prestasi untuk mengutip tiga mata di setiap perlawanan.

“Kami mendapat peluang kedua dan memanfaatkannya. Kami tidak menjangka KLHC akan mencicirkan mata, dan ia menguntungkan kami. Setelah menewaskan Sapura (pada Jumaat), saya tahu ianya di tangan kami untuk menentukannya,” ujar Sarjit yang kini mengalihkan fokusnya di dalam misi mempertahankan Piala TNB.

Sementara itu, juara Piala Tan Sri P. Alagendra, Sapura menamatkan musim di tempat kedua setelah membenam cabaran Maybank 2-1, hasil jaringan Gurbaj Singh dan Philip Burrows manakala bekas juara KLHC berpuas hati di tempat ketiga hasil kemenangan 4-1 ke atas Universiti Kuala Lumpur.

Gol buat KLHC dijaringkan oleh Umar Bhutta, Harvinder Singh, Haziq Samsul dan Pedro Lopez Alonso.

THT, Sapura, KLHC dan Maybank layak beraksi di separuh akhir Piala TNB.

- Advertisement -