tmj.kjj

Oleh Ku Mohd Lufti

Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar mengesahkan tiada debat melibatkan beliau dengan pemilik Kelab Johor Darul Takzim Tunku Mahkota Pemangku Raja Johor, Tunku Ismail Sultan Ibrahim.

Kedua dua pihak telahpun mengadakan pertemuan baru baru ini dan menjurus kepada usaha untuk membangunkan struktur baru bola sepak.

“Bagi saya dan pihak Tunku , kita setuju bahawa perjumpaan beberapa hari lalu adalah cukup. Beberapa perkara yang perlu tindakan susulan akan diambil oleh saya dan Tunku Ismail,” kata Khairy.

Malah, perancangan yang akan dilaksanakan kelak turut melibatkan badan induk bolasepak Malaysia, FAM.

“Ini akan melibakan FAM, saya ada perancangan dan perlu maklumkan kepada FAM. Saya percaya perancangan ini walaupun belum tiba masa untuk diumumkan, akan melibatkan semua dan berharap akan membawa lembaran baru kepada bolasepak kita,” tambah Khairy lagi.

Pemilik kelab JDT Tunku Ismail sebelum ini mencabar beberapa individu yang terlibat dalam bolasepak negara untuk mengadakan debat secara terbuka.

Topik menjurus kepada kemerosotan sukan bolasepak di Malaysia yang dianggap semakin serius.

Antara individu yang disenaraikan selain Menteri Belia dan Sukan, wakil badan induk bolasepak Malaysia, FAM dan jurulatih skuad kebangsaan, Datuk Ong Kim Swee, Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia, B Sathianathan dan Pengarah Program Pembangunan Bolasepak Negara, Lim Teong Kim.

- Advertisement -