khairy

Oleh Ku Mohd Lufti

Tiada masalah buat Menteri Belia dan Sukan, Khairy Jamaluddin Abu Bakar terhadap jaguh badminton perseorangan negara, Datuk Lee Chong Wei yang tidak akan beraksi di Sukan SEA 2017 nanti.

Perbincangan telahpun diadakan dengan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk memberi ruang kepada Chong Wei untuk melakukan persiapan terhadap kejohanan Dunia di Glasgow, Scotland yang dijadual berlangsung dari 21 hingga 27 Ogos.

Manakala tarikh penganjuran Sukan SEA ke 29 di Kuala Lumpur dijadual berlangsung dari 19 hingga 31 Ogos.

“Lee Chong Wei mungkin tidak akan menyertai Sukan SEA dan saya beritahunya, lebih baik beliau beraksi di Kejohanan Dunia tahun depan,” kata Khairy Jamaluddin

Pemain nombor satu dunia itu masih gagal meraih sebarang kemenangan di Kejohanan Dunia selepas tewas dalam tiga perlawanan akhir iaitu ketika di Jakarta pada 2015, Guangzhou (2013), London (2011).

Lebih malang, rekod Chong Wei sebagai naib juara pada 2014 di Copenhagen, Denmark ditarik balik selepas didapati positif dalam ujian dopingnya.

Bagi sukan badminton Sukan SEA menawarkan tujuh pingat emas iaitu dua dalam acara berpasukan dan lima bagi kategori individu.

Malaysia merupakan juara bertahan dalam dua kategori iaitu perseorangan lelaki dan beregu wanita.

Ketika Sukan SEA 2015 di Singapura, Malaysia meraih pingat emas menerusi Chong Wei Feng dan beregu wanita Vivian Hoo-Woon Khe Wei.

- Advertisement -