Melaka-UnitedOleh Muhammad Aiman

Baru membimbing pasukannya beraksi satu perlawanan persahabatan, ketua jurulatih Melaka United, Eric Williams sudah memberi bayangan awal betapa dia tidak akan bertolak ansur dengan mana-mana pemain yang tiada motivasi mahu bermain, atau secara ringkasnya ‘lembik’.

Williams menyaksikan pasukannya membenam pasukan Liga FAM, Felcra United 2-0 di Stadium Hang Tuah menerusi jaringan Alif Samsudin dan Nursyamil Abdul Ghani, namun bekas jurulatih Yangon United itu jelas tidak berpuas hati dengan atitud ditunjukkan pemainnya.

Pengendali dari Australia itu berkata, “Saya peduli tentang prestasi, saya peduli tentang siapa yang kerja keras. Saya lihat ada lima pemain sekadar menjadi penonton, tidak bisa lakukan apa-apa. Apa yang dibuat ketika latihan, saya tidak nampak mereka tunjukkan ketika bermain.

“Ketika latihan kita ajar mereka teknik hantaran, gelecekkan, penguasaan dan kawalan bola tetapi saya tidak nampak ianya ditunjukkan. Selepas tiga empat sentuhan, kita kehilangan bola. Jika mereka tidak boleh mengawal bola, mereka tidak boleh bermain cara yang saya mahu, saya kecewa.”

Pada perlawanan itu, Melaka beraksi tanpa kekuatan penuh dengan pemain veteran yang baru ditandatangani, Amri Yahyah, pemain dari Filipina Omid Nazari serta penyerang import muda dari Argentina, Sergio Aguero kesemuanya belum dapat diturunkan.

Namun, Williams positif dia akan dapat membentuk sebuah pasukan dengan barisan serangan yang cukup digeruni dengan menggandingkan Amri, Aguero dan penyerang berbisa yang merupakan penjaring terbanyak musim lalu, Ilija Spasojevic.

Melaka yang kembali beraksi di Liga Super selepas sembilan tahun, dianggap sebagai salah satu pencabar utama musim depan setelah berbelanja besar merombak pasukan dan merekrut beberapa pemain ternama Liga Malaysia.

Antara pemain yang sudah sah menyertai juara 100Plus Liga Premier itu adalah Khairul Azrin (PKNS), Faizal Muhammad (PDRM), Fauzi Roslan (Pahang), Izzaq Faris Ramlan (T-Team), pemain berdarah kacukan dari Gainare Tottori Tam Sheang Tsung dan pemain import, Godwin Antwi (DRB Hicom). 

- Advertisement -