Oleh Ku Mohd Lufti

Selepas aksi yo yo dipamerkan musim lalu, pasukan berstatus kelab dari Pantai Timur T-Team, tampak lebih bersedia untuk mencari kedudukan yang lebih baik bagi tahun ini.

Ketiadaan beberapa pemain utama yang berhijrah tidak terlalu meresahkan pengendali The Titans, Rahmad Darmawan kerana kekosongan itu telahpun diisi.

Dua pemain import antara 13 muka baru dilabel Rahmad sebagai bersedia untuk beraksi pada Sabtu ini ketika berdepan Sarawak.

Pemain import kelahiran Mali, Mohamadau Samassa dan penyerang tinggi lampai kelahiran Uzbekistan, Farhod Tadjiev melengkapkan kouta pemain import The Titans.

Manakala dua lagi kuota import masih kekal milik Abdoulaye Yousouf Maiga dari Mali yang beraksi di posisi pertahanan dan, Dilshod Sharofetdinov dari Uzbekistan.

“Ada pemain yang telah berhijrah jadi kekosongan yang ditinggalkan itu kita perkuatkan lagi dengan gandingan pemain baharu termasuk dari pasukan Terengganu, DRB Hicom serta Mifa FC.

“Kehilangan para pemain itu menyebabkan kita terpaksa melakukan perubahan di bahagian serangan, penjaga gol dan bahagian lain bagi membentuk satu pasukan dengan kehadiran muka baharu,” kata Rahmad.

Samassa merupakan pemain  berusia 30 tahun dan pernah menyarung jersi bersama pasukan kebangsaan Perancis bawah 21 tahun dijangka menjadi tunjang di bahagian serangan.

Malah, isu membabitkan keserasian dijangka bukan masalah utama kerana sepanjang sesi latihan dan aksi persahabatan, pemain baru dan lama tampak sudah mampu untuk membentuk kombinasi yang baik.

 T Team merupakan semi finalis Piala Malaysia tahun lalu dan menamatkan saingan Liga Super di tangga ke 7 hasil tujuh kemenangan, enam keputusan seri dan Sembilan kekalahan.

- Advertisement -