Pemilik Johor Darul Takzim (JDT), Tunku Ismail Sultan Ibrahim mengesahkan pengunduran ketua jurulatih Ulisses Morais disusuli penyerang berbisa Jorge Pereyra Diaz, saling berkait dan ia disebabkan oleh jurulatih kecergasan, Fernando.

Ahad lalu, kem JDT digemparkan dengan peletakan jawatan secara mengejut oleh Morais yang baru membimbing pasukan itu selama sembilan bulan – Morais menjelaskan ia adalah disebabkan masalah kesihatan dalam keluarga.

Manakala pada malam hari yang sama, sebelum pasukan berlepas ke Vietnam untuk aksi Piala AFC menentang Song Lam Nghe An di Stadium Vinh, Diaz pula bertindak meninggalkan pasukan.

Menurut Tunku Mahkota Johor itu, Morais dan Diaz sebenarnya sudah tidak sebulu sejak pra-musim malah menegaskan isu antara pemain-jurulatih bukan baru di kem pasukan itu.

“Kalau anda tengok tiga jurulatih sebelum ini termasuk (Bojan) Hodak, (Mario) Gomez dan (Benjamin) Mora, mesti ada masalah dengan pemain. Apa yang terjadi, bila jurulatih baru datang ke JDT, mereka akan bawa kakitangan mereka sendiri termasuk jurulatih kecergasan dan pegawai fisioterapi.

“Jadi, Fernando rasa kurang senang, takut tempat beliau diambil orang lain dan beliau tiada kerja. Apa yang beliau buat, beliau menggunakan hubungan rapat dengan pemain untuk menghasut pemain bagi memastikan pemain ada masalah dengan jurulatih,” jelas TMJ.

Tambah TMJ, tindakan memecat Fernando dianggap menjadi punca Diaz turut ‘angkat kaki’ dari kelab itu.

“Bila saya dapat tahu benda ini, saya cakap lebih baik kita buang orang ini (Fernando) sebab sudah banyak masalah dari dulu lagi, walaupun sudah bagi peluang kedua pun masih ada masalah.

“Selepas siasatan, saya pecat jurulatih kecergasan itu, saya bercakap dengan Alistair (Edwards) dan ketua pencari bakat dan wakil delegasi asing JDT, Martin Prest bahawa saya jamin pemain itu pun akan ikut.

“Ini kerana hubungan mereka amat rapat dan itu yang terjadi. Jadi bila saya pecat Fernando, Diaz pun nak ikut, jadi saya ucapkan selamat berjaya,” tambah TMJ.

Sepanjang bersama JDT bermula dari 2014-2016 dan kemudiannya 2018, Diaz telah menjaringkan lebih dari 50 gol untuk harimau selatan dalam semua pertandingan malah pada 2016, dia menamatkan musim selaku pemenang kasut emas dengan 18 gol.

Untuk musim ini dia sudahpun bergelar penjaring terbanyak pasukan dengan menjaringkan lima gol dalam semua pertandingan.OLEH MUHD AIMAN 

- Advertisement -