Sejurus selepas meletakkan jawatan sebagai Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Tunku Ismail Sultan Ibrahim telah mengesyorkan supaya jawatan itu dipangku sementara oleh timbalan presiden, Datuk Wira Yusoff Mahadi sehingga berlangsungnya Kongres Tahunan FAM pada 14 Julai nanti.

Kenapa bukan Datuk Seri Subahan Kamal yang merupakan Timbalan Presiden I?

Ini kerana adalah diketahui hubungan antara Tunku Mahkota Johor itu dan Subahan tidak begitu baik sejak dari awal, malah Subahan dilaporkan sebagai individu yang pernah menggerakkan usaha menyingkirkan TMJ dari kerusi no.1 FAM tidak lama dulu.

Begitupun, dalam apa yang boleh dikatakan sebagai cadangan mengejutkan, TMJ menyatakan individu kedua yang paling layak memimpin FAM selepas Yusoff adalah Setiausaha Agung, Dato’ Hamidin Amin yang telah begitu lama berkhidmat dalam bidang pentadbiran bolasepak.

Menurutnya ia bukan perkara baru untuk mana-mana badan induk bolasepak dunia untuk diterajui oleh mereka yang pernah berkhidmat sebagai setiausaha agung, malah mereka lebih memahami selok belok bolasepak justeru bersedia memberi sokongan penuh kepada Hamidin.

“Saya juga mempunyai hubungan yang amat baik dengan Dato’ Hamidin dan ini akan memudahkan lagi kerjasama di antara FAM dan Malaysian Football League (MFL).

“Jika Dato’ Hamidin dipilih sebagai Presiden FAM oleh ahli gabungan, saya akan memberi sokongan penuh kepada beliau dan memastikan pendapatan FAM terjamin. Saya berharap semua ahli gabungan akan menyokong Dato’ Hamidin sebagai presiden,” kata TMJ.

Terdahulu pada Ahad, TMJ menyerahkan surat peletakan jawatannya kepada Hamidin selepas dipilih untuk kekal sebagai Pengerusi Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) yang kini dijenamakan semula sebagai MFL. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -