PENCABAR utama Maybank dan Terengganu Hockey Team (THT) masing-masing terpaksa berpuas hati berkongsi satu mata selepas terikat 2-2 pada perlawanan TNB Liga Hoki Malaysia (Premier) 2022 di Stadium Hoki National malam ini.

Selepas suku ketiga permainan, Maybank, yang mengetengahkan lima pemain kebangsaan, mula membayangkan kemenangan dan tiga mata penuh selepas mendahului THT 2-1.

Begitu pun, penyerang kebangsaan Faizal Saari muncul penyelamat THT dan menyekat hasrat Maybank selepas menyempurnakan jaringan dari pukulan sudut penalti pada minit ke-52.

Sebelum itu, dengan penyerang kebangsaan Muhammad Razie Rahim sebagai peneraju, Maybank terlebih dahulu meledak menerusi Muhajir Abdu Rauf pada minit ke-16 selepas buntu tanpa jaringan pada suku pertama.

Namun, THT turut diperkuatkan dengan beberapa pemain kebangsaan musim ini termasuk Faizal, penjaga gol Muhammad Hafizudin Othman dan Marhan Mohd Jalil, membalas jaringan pada minit ke-30 menerusi Nabil Fiqri Mohd Nor untuk menjadikan kedudukan sama rata pada separuh masa pertama.

 

Maybank sekali lagi berjaya membolosi pertahanan seterusnya menewaskan penjaga gol THT apabila penyerang kebangsaan Muhammad Razie Rahim menyempurnakan jaringan menerusi pukulan sudut penalti dua minit sebelum berakhir suku ketiga untuk memberi kelebihan buat Maybank.

THT mengatur strategi lebih aggresif, menggunakan segala pengalaman menekan Maybank pada suku keempat menerusi serangan kilat yang akhirnya berjaya membuahkan hasil.

Faizal Saari tidak mensia-siakan peluang yang diperolehi menerusi pukulan sudut penalti pada minit ke-51 untuk mengikat Maybank hingga ke penamat.

Keputusan itu bagaimana pun tidak menjejaskan kedudukan Maybank yang terus kekal di puncak liga (7 mata) mengatasi THT (juga 7 mata) menerusi perbezaan gol.

Jurulatih Maybank Azrul Effendy Bistamam sedikit terkilan dengan keputusan muktamad biarpun dua kali mendahului THT. “Saya berpuas hati dari segi tahap kerja keras pemain tetapi sedikit kecewa dengankegagalan menyempurnakan peluang di depan gol lawan,”kata beliau sambal mengakui, pengalaman THT sebagai kelab elit negara terserlah apabila berjaya mengejar kedudukan dan menguasai tempo permainan pada suku keempat.

Jurulatih Maybank Roslan Jamaluddin juga berpuas hati dengan kesungguhan anak buahnya yangberjaya mendahului kedudukan biarpun akhirnya diikat oleh THT. “Ia keputusan sesuatu yang positif kerana selepas dua perlawawan, kami berjaya berada di depan lawan.”

Dalam perlawanan lain, TNB Thunderbolts bangkit dari ketinggalan untuk meraih kemenangan tipis 2-1 ke atas Nurinsafi Sporting, kemenangan pertama pasukan itu selepas tiga perlawanan.

Thunderbolts bangkit dari ketinggalan 1-0 selepas dikejutkan oleh jaringan penyerang Nurinsafi, Haikal Nilesh Hrsikesa Thaichana Muruthi pada minit ke-18.

Begitu pun Muhammad Idris Samad memastikan kedudukan 1-1 buat Thunderbolts selepas meledak jaringan menerusi penalti sudut pada minit ke 24 sebelum Muhamad Zasfri Afiq Nor Azlan menjulang kejayaan Thunderbolts menerusi jaringan padang pada minit ke-56.

Sementara itu, TNB, yang menyerap masuk 10 pemain kebangsaan musim ini, membenam skuad National Development Team 17-0, jumlah jaringan paling besar setakat ini pada saingan liga musim ini.

Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal muncul penjaring terbanyak dengan empat gol manakala Muhammad Najib Abu Hassan (tiga gol) diikuti Norshafiq Sumantri dan Muhammad Firhan masing-masing dua gol.

Turut tersenarai dalam senarai penjaring termasuk Muhammad Aminudin Zain, Azril Misron. Muhammad Hafizhuddin Zaidi, Muhammad Aiman Nik Rozemi, Faiz Halmi Jali dan Muhammad Shahril Saabah.

Dua perlawanan seterusnya pada Khamis ini dijangka sengit dengan membabitkan pertembungan TNB-Maybank dan THT menentang UiTM.

- Advertisement -