THT mengambil alih kedudukan pendahulu liga biarpun terikat 1-1menentang pesaing terdekat UiTM HA pada perlawanan TNB Liga Hoki Malaysia di Stadium Hoki Nasional semalam.

Dua gol yang dijaringkan masing-masing oleh THT dan UiTM pada suku kekal hingga tamat perlawanan untuk pulang dengan satu mata. THT kini mengemudi kedudukan liga dengan lapan mata diikuti Maybank dan UiTM masing-masing 7 mata.

THT gagal memanfaatkan beberapa peluang keemasan pada dua suku terakhir dan acapkali dinafikan oleh penjaga gawang UiTM Adrian Andy Albert, yang beraksi cemerlang menidakkan beberapa peluang terbuka lawan.

Penyerang kebangsaan Faizal Saari akhirnya menghadirkan sedikit kelegaan buat THT apabila berjaya menepis hantaran dari tengah untuk membolosi gol UiTM – gol peribadi keenam beliau.

Kegembiraan THT hanya bertahan dua minit selepas Muhammad Izad Hakimi Jamaluddin melakukan slap shot sempurna hasil pukulan sudut penalti pada minit ke-24 untuk mengikat kedudukan.

Berbanding THT yang diperkuat beberapa pemain kebangsaan, UiTM pula dianggap underdog dengan hanya seorang pemain kebangsaan di dalam skuad.

Penjaring dan ketua pasukan THT Faizal Saari berkata meraih satu mata amat bermakna dan satu kelegaan buat pasukan. “Satu mata yang amat bermakna kerana agak ketara, ada pemain yang sudah mengalami kecederaan selepas mengharungi jadual liga yang agak padat,” kata beliau.

Pertemuan menentang Nurinsafi Sporting pada Isnin ini tidak diangap mudah. “Kami tidak memandang rendah mana-mana pasukan, tetapi selepas rehat empat hari, kami akan bersungguh-sungguh untuk pastikan tiga mata milik THT.”

Ketua pasukan UiTM Muhammad Azri Hassan pula menganggap kejayaan memraih satu mata itu memberikan kelebihan psikologi sebelum pertemuan dengan TNB Sabtu ini.

“Satu mata pun sudah memadai, kerana kami merupakan pasukan underdog. Kami harap dapat meneruskan momentum sebegini berdepan TNB nanti,” kata beliau.

TNB 3-0 MAYBANK

TNB menyekat percubaan pendahulu liga untuk melebar jurang di puncak liga apabila mengejutkan Maybank 3-0 malam ini.

Maybank yang diperkuat lima pemain kebangsaan musim ini, nyata sukar mengekang corak permainan pantas TNB dan terpaksa akur dengan kekuatan lawan.

Selepas buntu pada separuh masa pertama, TNB meningkatkan tempo pada babak kedua, dan nyata berhasil apabila Faiz Helmi Jali menjaringkan gol pada minit ke-35.

Muhammad Shahril Saabah berjaya menjaringkan gol peribadi pertamanya pada minit ke-47 sebelum Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal menggegar gawang Maybank menerusi jaringan peribadi ke-6 beliau untuk memberi kemenangan selesa 3-0 buat TNB.

Muhammad Azrai kini terikat sebagai penjaring terbanyak liga dengan enam gol bersama penyerang Maybank Muhammad Razie Rahim.

TNB THUNDERBOLTS 2-0 NATIONAL DEVELOPMENT TEAM (NDT)

DUA gol dalam tempoh tiga minit pada suku ke-empat sudah cukup buat TNB Thunderboltsmelakar kemenangan 2-0 ke atas National Development Team.

Kemenangan kedua TNB Thunderbolts itu memberikan kelegaan buat jurulatih Muhammad Amin Rahim untuk terus memberi tekanan dan memperbaiki kedudukan liga. Selepas empat perlawanan, TNB Thunderbolts kini di tangga ke-5 liga dan berdepan cabaran berat berdepan Maybank pada perlawanan Sabtu ini.

Muhammad Syawal Abd Razak berjaya melerai kebuntuan buat TNB Thunderbolts pada minit ke-52, jaringan peribadi keempat beliau setakat ini.

Tiga minit kemudian, Che Nur Aqilrullah tidak mensia-siakan peluang dari cubaan sudut penalti dan memastikan TNB Thunderbolts terus mengemudi perlawanan hinggga hon penamat dibunyikan.

- Advertisement -