TIGA jaringan berturut-turut dalam tempoh dua minit pada suku keempat meranapkan harapan Maybank untuk menyaingi pemacu liga Tenaga Nasional Berhad (TNB) yang meraih kemenangan 5-2 pada pada perlawanan TNB Liga Hoki Malaysia (Premier) 2022 di Stadium Hoki Nasional malam ini.

Kemenangan itu sekaligus menidakkan usaha pencabar terdekat Terengganu Hockey Team (THT) yang terus ketinggalan di tangga kedua dengan empat mata di belakang TNB (27 mata keseluruhan).

Maybank pula dalam kedudukan tertekan dan perlukan kemenangan untuk terus menghambat THT, dan kekalahan kepada TNB tambah menyukarkan misi memburu kedudukan naib juara.

Kedua-dua TNB dan Maybank bersaing sengit dalam tempoh 15 minit pertama tetapi TNB terlebih dahulu memecah kebuntuan pada suku kedua menerusi Syed Mohamad Syafiq Syed Cholan yang menyempurnakan gerakan sudut penalti pada minit ke-21.

Namun kegembiraan TNB terhenti seminit selepas itu apabila Hafifihafiz Hanafi melakukan gerakan pantas untuk menyamakan kedudukan dengan pantas.

Hanya pada suku ketiga, kemampuan penyerang kebangsaan TNB, Muhammad Shahril Saabah terserlah apabila menemui sasaran menerusi gol padang pada minit ke-34.

Namun, Maybank tidak mudah menyerah kalah dan mengejar dari belakang untuk menyamakan kedudukan menerusi Muhammad Haziq Samsul pada minit ke 48.

TNB meningkatkan tempo permainan selepas itu dan ledakan dua gol Muhammad Azrai Aizad Abu Kamal pada minit ke-52 dan 53 nyata menyentap semangat Maybank. Nik Muhammad Aiman menambah sengsara Maybank dengan gol pada minit ke-54 untuk memberikan kemenangan selesa buat TNB.

“Kita sebenarnya gagal memanfaat peluang di awal permainan, dan terpaksa menunggu hingga suku kedua untuk jaringan. Tetapi saya puas hati dengan prestasi pemain, terutama apabila mempertahankan gawang ketika percubaan penalti sudut lawan. Kami berjaya kekang kekuatan Maybank di kiri dan kanan padang,” kata pengendali TNB Nor Saiful Zaini Nasiruddin.

Berbaki dua perlawanan, Nor Saiful berkata perlawnaan hari ini tidak menentukan kejuaraan liga. “Sebaliknya saya pasti penentuan juara liga akan diheret hingga ke perlawanan terakhir menentang THT nanti, itulah penentuannya dan kami sudah bersedia memberikan yang terbaik,” kata Nor Saiful.

Sebelum itu, THT tidak berdepan masalah mengetepikan UiTM HA 4-1 dengan penyerang prolifik kebangsaan Faizal Saari sekali lagi cemerlang dengan ledakan hartik tiga gol pada minit ke-9, 14 dan 50, sebelum Ismail Abu menambah satu lagi gol pada minit ke 53.

TNB Thunderbolts pula naik satu tangga ke kedudukan ke-empat dengan 15 mata qpabile mengetepikan National Development Team 4-2.

Saingan liga dijangka berakhir pada 22 Mac manakala separuh akhir Piala TNB bermula 25 Mac. Perlawanan akhir Piala TNB dijadualkan pada 31 Mac ini.

ends

- Advertisement -