NEGERI Sembilan melakar sejarah tersendiri apabila mengesahkan kejuaraan TNB Liga Hoki Malaysia (Wanita) 2022 selepas melengkapkan saingan terakhir menewaskan Mutiara Impian-MSSPP-PSHA 8-0 pada perlawanan terakhir liga hari ini.

Tampil buat kali pertama dan diperkuat dengan barisan bintang kebangsaan, skuad bimbingan K. Rajan ternyata menepati ramalan awal untuk mendominasi saingan liga 2022 dan berkesudahan dengan 28 mata keseluruhan selain mengekalkan rekod cemerlang tanpa kalah. Jaringan paling banyak 55 gol membuktikan ketajaman barisna penyerang Negeri Sembilan yang sukar disaingi pasukan lain.

Pesaing terdekat KPT-Uniten Thunderbolts pula terpaksa akur selaku naib juara biarpun menumpaskan National Development Team 4-0 dan melengkapi saingan dengan kutipan 25 mata keseluruhan.

Pengendali Negeri Sembilan K. Rajan menganggap kejayaan itu sebagai amat manis dan kini mengalih fokus pasukan untuk memastikan sasaran layak ke akhir Piala Vivian May Soars tercapai.

Sebelum itu, cabaran separuh akhir menentang NDT pada Rabu dan Jumaat ini perlu dilepasi terlebih dahulu.

“Walaupun sudah dua kali dan menang kedua-duanya perlawanan menentang NDT, kami tidak boleh ambil ringan memandangkan ianya perlawanan kalah mati, apa saja boleh berlaku.

Tetapi, pemain berada dalam keadaan terbaik dan tiada kecederaan setakat ini, jadi ini satu perkembangan positif menjelang separuh akhir nanti,” kata Rajan.

Penyerang Negeri Sembilan Nuramirah Shakirah Zulkifli sekali lagi meledak dengan hatrik tiga gol untuk mengesahkan kedudukan sebagai penjaring tersohor liga dengan 18 gol.

Pemain kebangsaan Hanis Nadiah Onn pula muncul penjaring kedua terbanyak dngan 12 gol selepas menyumbang satu gol pada perlawanan hari ini.

Ketua pasukan Nuraini Rashid mengegar gawang lawan dua kali hari ini untuk menambah jaringan peribadi kepada 7 gol.

KPT-Uniten pula akur selaku naib juara biarpun menang 4-0 ke atas NDT pada perlawanan terakhir dengan Sabah menanti pada saingan separuh akhir.

Siti Nur Arfah Mohd Nor meraih kedudukan sebagai penjaring terbanyak pasukan dan ketiga terbanyak secara keseluruhan dengan 9 gol.

JADUAL SEPARUH AKHIR PIALA VIVIAN MAY SOARS

Separuh Akhir 1 (16 Mac)
Negeri Sembilan mln NDT (W)
KPT-Uniten Thunderbolts mln Sabah

Separuh Akhir 2 (18 Mac)
Sabah mln KPT-Uniten Thunderbolts
NDT mln Negeri Sembilan

- Advertisement -