Impian jaguh trek negara, Datuk Azizulhasni Awang untuk menaiki podium selaku pemenang pingat emas dalam acara keirin individu tidak kesampaian apabila menamatkan perlumbaan akhir ditempat kedua.

Velodro Izu menjadi medan pertarungan terakhir buat kontinjen negara untuk memburu pingat menerusi dua pelumba trek negara, Datuk Azizul dan Muhd Shah Firdaus Sahrom yang beraksi dalam acara Keirin Individu.

Perjuangan Muhd Shah Firdaus sekadar di suku akhir selepas menamatkan saingan dikedudukan keenam sementara Azizul tidak berdepan masalah untuk mara ke final bagi penentuan pingat selepas menduduki tempat kedua di peringkat suku akhir dan tempat pertama di peringkat separuh akhir.

Tatkala Azizul sedang mempersiapkan kayuhan untuk memburu pingat ketika perlumbaan penentuan pingat, kejutan berlaku apabila pelumba Great Britain Jason Kenny seakan akan mengambil risiko besar melakukan henjutan awal sebaik moto pacer yang dikendali bekas pemenang pingat gangsa Olimpik Los Angeles 1984 bagi acara Pecut Individu berusia 59 tahun Sakamoto Tsutomu meninggalkan trek.

Ia jelas merencatkan strategi Azizul yang berada dikedudukan kedua pada satu ketika dan bersaing sengit dengan lima lagi pelumba.

Jason nyata tidak dicabar sekaligus mengesahkan pingat emas manakala pertarungan sengit lima pelumba berakhir dengan pingat perak menjadi milik Datuk Azizul sementara pelumba dari Belanda Harry Lavreysen berpuas hati dengan pingat gangsa.

Pencapaian ini sekaligus memperbaiki rekod Azizul yang meraih pingat gangsa dalam acara ini ketika di Olimpik Rio 2016.

Berakhir perjuangan pelumba trek negara bermakna perjuangan kem negara di Tokyo 2020 berakhir dengan satu pingat perak dan satu pingat gangsa diraih.

- Advertisement -