Bergu lelaki negara, Aaron Chia-Soh Wooi Yik untuk melangkah ke peringkat suku akhir di Sukan Olimpik Tokyo 2020 masih terbuka meskipun tewas kepada pilihan kedua dari Indonesia, Mohammad Ahsan – Hendra Setiawan dalam aksi kedua peringkat kumpulan D petang tadi.

Aaron dan Wooi Yik tewas straight set 21-16, 21-19 selepas berusaha keras memberi tentangan sengit selama 34 minit.

Selepas satu kemenangan dan sekali tewas Aaron Chia – Soh Wooi Yik menghuni tangga kedua dibelakang Ahsan dan Setiawan dan masih berpeluang untuk mara ke peringkat suku akhir di penampilan sulung di pentas Olimpik.

Bergu negara ini perlu menang ke atas bergu Kanada, Jason Ho – Nyl Yakura pada perlawanan terakhir peringkat kumpulan D petang esok.

Dalam pada itu, pasangan bergu campuran negara, Chan Peng Soon – Goh Liu Ying gagal untuk mencatat sebarang kemenangan dalam saingan peringkat kumpulan D.

Peng Soon-Liu Ying tewas straight set 21-13, 21-19 di tangan pilihan kedua dari China, Huang Dong Ping – Wang Yi Lyu dalam aksi terakhir peringkat kumpulan hari ini.

Selain Aaron dan Wooi Yik, turut beraksi esok bergu wanita negara, Chow Mei Kuan – Lee Meng Yean yang akan turun berdepan gandingan Great Britain, Chloe Birch – Lauren Smith manakala gelanggang bagi saingan perseorangan wanita pula menyaksikan Soniia Cheah dijadual turun berdepan pemain Hungary, Lauro Sarosi.

- Advertisement -