Haji-Azman-Ibrahim-220x300

Haji Azman Ibrahim

KELANTAN mengambil langkah berisiko apabila bakal membariskan pemain muda yang diserap daripada skuad Piala Presiden untuk menghadapi saingan Piala Konfederasi Bola Sepak Asia (AFC) menentang Yangon United di Stadium Kompleks Sukan Yangon, 26 Feb ini.

Pengurus pasukan Hj. Azman Ibrahim berkata, pemain muda The Red Warriors (TRW) akan berpeluang beraksi di pentas antarabangsa menerusi saingan AFC yang akan mendedahkan pemain kepada aski bermutu tinggi selain berpeluang membuktikan kemampuan.

Antara pemain yang bakal diberi kepercayaan untuk menggalas tanggungjawab dalam saingan AFC adalah pemain pertahanan, Faizul Nazlin Sayuti dan Tuan Mohd Faim Tuan Zainal Abidin.

“Kita akan memberi peluang kepada pemain muda untuk beraksi di saingan AFC yang akan bermula tidak lama lagi dan saya percaya ini satu laluan kepada mereka untuk menimba pengalaman.

“Bagaimanapun, pemain yang diserap ini juga akan dibantu pemain lebih senior supaya kekuatan pasukan tidak terjejas. Kita harap mereka yang mendapat peluang ini akan membuktikan kemampuan masing-masing,” katanya ketika dihubungi.

Kelantan yang berada dalam Kumpulan G, diundi bersama dua lagi pasukan iaitu Ninh Binh dari Vietnam dan South China dari Hong Kong bakal meneruskan misi untuk layak ke peringkat lebih tinggi selepas hanya mampu mara sejauh suku akhir pada 2012 ketika di bawah kendalian bekas jurulatih, Bojan Hodak.

Azman menambah, pemilihan anak muda untuk aksi AFC juga memberi manfaat kepada TRW untuk membuat pertukaran pemain dalam setiap saingan berikutan bakal menghadapi jadual padat termasuk saingan Liga Super dan Piala FA.

Katanya, TRW tidak mahu pemain mengalami masalah kepenatan yang boleh menjejaskan persiapan pasukan dalam misi memburu kejayaan dalam setiap saingan.

“Kita perlu mempunyai percaturan yang baik untuk menghadapi jadual padat selepas saingan AFC bermula, malah kita terpaksa membuat pertukaran pemain dalam setiap perlawanan untuk mengelakkan masalah kepenatan,” katanya.

Untuk memberi maklum balas, sila emelkan kepada editor@sports247.my

- Advertisement -