Oleh Ku Mohd Lufti

Usaha untuk melahirkan lebih ramai pelapis pelapis bolasepak semakin giat dilakukan oleh syarikat syarikat swasta untuk memastikan Malaysia tidak ketandusan pemain bolasepak berbakat di masa akan datang.

Usaha yang dilakukan bekas pemain bolasepak negara, Datuk Richard Scully menerusi penubuhan kelab bolasepak TS United FC.

Kelab ini berpengkalan di Kepong, Kuala Lumpur, memfokuskan pemain pemain berusia 13 hingga 17 tahun.

Bagi Datuk Richard Scully, penubuhan kelab bolasepak ini adalah untuk memberi peluang kepada pelajar pelajar bukan sahaja di sekitar lembah Kelang semata mata untuk menimba pengalaman sekaligus membuktikan, mereka mempunyai bakat yang terpendam.

“Saya turut mengharapkan kelab kelab bolasepak lain di sekitar lembah Kelang bergabung untuk turut sama menjayakan misi kami, untuk membekalkan pemain pemain pelapis.

“Kelab ini juga memberi peluang kepada mana mana pelajar yang tidak berpeluang untuk menempatkan diri di Sekolah Sukan, mereka juga berpeluang untuk mewakili pasukan untuk beraksi di Piala Presiden dan sebagainya,” kata Richard.

Malah, Kelab TS United FC turut memberi ruang kepada pelajar pelajar wanita untuk melatih dan membentuk pasukan bolasepak wanita.

Sebagai permulaan, liga akan diadakan secara berperingkat sebelum dikembangkan sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Liga kita akan adakan dalam tiga fasa. Untuk suku tahun pertama, kita akan main liga secara peringkat domestic, fasa kedua masih lagi di peringkat domestic tetapi dibezakan menerusi peringkat umur, dan selepas itu liga melibatkan peringkat antarabangsa, jemputan diperingkat ASEAN,” katanya lagi.

Terdahulu Richard menandatangani Memorandum Persefahaman (MoU) diantara Kelab Bolasepak TS United FC dengan penaja iaitu MCS Management dan K Dinarr Agency dengan nilai tajaan keseluruhan RM 120 000 di Sekolah Menengah Kebangsaan Raja Abdullah.

Turut hadir, Ketua Jurulatih Skuad Harimau Malaysia, Datuk Ong Kim Swee, Presiden Persatuan Jurulatih Bolasepak Malaysia, B Sathianathan dan Naib Timbalan Presiden Persatuan Bolasepak Malaysia, Abang Zulkarnain Abang Abdul Rahman.

- Advertisement -