Tuneboss-Pink Racing Team yang akan membuat penampilan sulung pada kejuaraan Cub Prix Malaysia 2021 dilancarkan secara rasmi.

Majlis pelancaran itu berlangsung di perkarangan pejabat FSR Technology di kawasan Perindustrian Bukit Jelutong, Selangor dan ia disempurnakan oleh pemilik pasukan, Nur Atikah Azwar, 25, yang lebih dikenali sebagai Rider Helmet Pink.

Penubuhan pasukan ini dianggap sebagai sejarah baharu dalam kejuaraan Cub Prix Malaysia kerana ia dikendali serta dimiliki sepenuhnya oleh seorang wanita.

Mungkin ia wajar dicatatkan sebagai rekod baharu selaku WANITA TERMUDA PERTAMA yang memiliki pasukan sendiri pada kejuaraan yang sering didominasi kaum lelaki itu.

Apa yang diharapkan adalah agar penubuhan Pink Racing Team ini akan membantu membawa nafas baharu pada Kejuaraan Cub Prix Malaysia, sekali gus mampu menarik minat lebih ramai pembabitan kaum wanita sama ada untuk menceburkan diri dalam aspek pengurusan pasukan, krew teknikal mahupun tampil sebagai pelumba.

Buat permulaan, Pink Racing Team akan mengambil bahagian dalam dua kategori di Cub Prix musim ini iaitu kategori CP125 dan juga kategori Wira.

Bagi kategori Wira, pasukan ini akan menampilkan seorang pelumba wanita, Alia Saarizan manakala cabaran bagi kelas CP125 bakal digalas oleh pelumba serba boleh, Harith Baharin dan seorang lagi pelumba wanita Fifi Muhamad.

Mereka akan menggunakan jentera Yamaha Legenda. Selain menyertai kejuaraan Cub Prix pada musim pertama ini, Pink Racing Team juga bakal beraksi pada Kejuaraan Superbike Malaysia (MSBK) 2021 dan juga Drag Racing.

Untuk rekod, idea untuk menubuhkan pasukan ini mula tercetus pertengahan tahun lalu dan setelah berbincang dengan banyak pihak, maka hasrat tersebut dapat direalisasikan sebaik berakhirnya saingan Cub Prix pada msim lalu.

Selepas berdepan dengan pelbagai halangan, maka hari ini wujudlah Pink Racing Team yang bakal menambah warna baharu dalam saingan Cub Prix tahun ini.

Pemilik pasukan, Nur Atikah sememangnya tidak memiliki latar belakang sebagai pelumba, namun dia mempunyai minat yang mendalam dengan aktiviti yang berkaitan dengan motosikal.

Dia mula mendekatkan diri dengan gelanggang Cub Prix pada musim 2019 dan ketika itu tampil sebagai Motovlogger untuk membuat liputan terhadap perjalanan kejuaraan terunggul negara itu.

Selepas itu, dia ditawarkan untuk membantu pihak penganjur mempromosikan aktiviti-aktiviti sampingan pada setiap pusingan kejuaraan Cub Prix di seluruh negara dan peranan yang dimainkannya itu telah membawa kesan yang sangat memuaskan.

Namun pada musim 2020, dia mula beralih angin apabila memberanikan diri untuk beraksi dalam perlumbaan sokongan iaitu kategori Pro-Am dan dia berjaya menduduki kedudukan ke-19 keseluruhan.

Segala pengalaman yang dipelajarinya dalam tempoh dua tahun di Cub Prix itu, telah memberi keyakinan kepadanya untuk menubuhkan pasukan sendiri pada musim 2021 ini.

Sebagai permulaan, Pink Racing Team tidak meletakkan sebarang sasaran spesifik kerana matlamat utama pada saingan musim ini adalah untuk menimba pengalaman, selain medan untuk menguji kemampuan jentera Yamaha Legenda yang akan menjadi taruhan barisan pelumba mereka nanti.

ā€œTumpuan kami pada penampilan pertama ini adalah untuk menimba seberapa banyak pengalaman yang boleh, selain mengumpul data-data penting dalam usaha untuk meningkatkan kemampuan jentera mahupun pelumba.

ā€œBegitupun, kami akan tetap memberikan yang terbaik dan jika berjaya menjejak kaki ke podium, ia dianggap sebagai satu bonus,ā€ jelas Atikah.

Dia juga mengucapkan terima kasih terutamanya kepada pihak Tuneboss yang telah banyak membantunya untuk meralisasikan penubuhan Pink Racing Team serta rakan-rakan penaja yang lain termasuk pihak Racing Boy, syarikat pengeluar rantai motosikal D.I.D Chain, pengeluar bateri Koyoko, syarikat pengeluar alat ganti motosikal Tobaki Racing, Estrimo Lubricant, Welly Assorted Rawang, Qbee Motor Group, NHK Helmet, Gene Advance, Five Glove, Hypergear, Insta360, Uma Racing, FDR Tyre dan juga rakan-rakan media khususnya akhbar Kosmo! serta restoran Pizza vs Satay yang menyediakan jamuan pada majlis tersebut.

ā€œKerjasama yang mereka berikan terhadap penubuhan Pink Racing ini telah memberi kekuatan kepada kami dan sukar untuk diungkapkan dengan kata-kata. Hanya terima kasih yang mampu saya ucapkan,ā€ jelas Atikah lagi.

Antara tetamu yang hadir pada majlis tersebut adalah Ketua Pegawai Eksekutif FSR Technology, Farhan Ali, Pengarang Kumpulan Media Mulia, Mohamad Azlan Jaafar, Presiden Persatuan Pelumba Sukan Permotoran Malaysia, Shahrol Yuzy, wakil pihak penganjur Cub Prix Malaysia serta wakil-wakil penaja.

PINK RACING TEAM
Pemilik/Pengurus pasukan: Nur Atikah Azwar
Ketua Mekanik: Mohd. Zulfaqar
Jurulatih: Raffy Kamar

Pelumba (CP125)
Harith Baharin
Fifi Muhamad

Wira: Alia Saarizan
Krew Media:
Norazlan (jurufoto)
Mohd Azeeq (videographer)
Aqil Riduan (Pemasaran Digital)
Ima Azwar (Sosial Media/YouTuber)

- Advertisement -