Wakil Boys Of Straits (BOS), Rasdi Hassan berharap penyokong-penyokong Johor Darul Ta’zim (JDT) dan Kedah dapat mengekalkan semangat kesukanan tinggi menjelang aksi final Piala Malaysia 2019 yang berlangsung di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ), Sabtu ini.

Jelas Rasdi yang merupakan ketua BOS bagi cawangan Lembah Klang, beliau optimis peminat-peminat mahu disajikan perlawanan epik dan bukannya kontroversi panas yang secara tidak langsung memberikan impak buruk kepada Liga Malaysia.

Justeru, Rasdi turut berharap peminat-peminat JDT dan Kedah dapat menggunakan saluran betul untuk menyokong pasukan masing-masing terutama membabitkan pembelian tiket secara dalam talian.

“Saya percaya final kali ini akan berjalan lebih aman dan saya yakin peminat-peminat JDT mahupun Kedah akan memastikan atmosfera perlawanan akan lebih meriah berbanding tahun lalu.

“Cuma saya berharap peminat-peminat tidak salah gunakan saluran untuk membeli tiket. Sebagai contohnya, jika kamu peminat JDT hanyalah membeli tiket (untuk pasukan) JDT dan janganlah membeli tiket (pasukan Kedah) semata-mata mahu mencari jalan pintas.

“Kita tidak mahu lagi setiap aksi final disajikan kontroversi di mana kita semua mahu menyaksikan satu perlawanan menarik di antara JDT dan Kedah. Kita mahukan momen itu berlaku.

“Ini kerana kita juga mahu mengelakkan perkara tidak diingini berlaku semasa hari perlawanan tetapi saya percaya penyokong JDT dan Kedah akan menunjukkan contoh yang bagus kepada bola sepak tempatan,” ujarnya.

Dalam perkembangan sama, Khairul Hakimi Ahmad selaku wakil penyokong Kedah, mengakui mereka sudah tidak sabar untuk membanjiri SNBJ dalam usaha memberikan sokongan padu kepada skuad Lang Merah.

Kata Khairul, SNBJ dilihat gelanggang lebih baik buat pasukan Kedah selain kedudukan strategik dan memiliki pengangkutan awam yang lebih mudah.

“Secara peribadi, saya menganggap Stadium Nasional Bukit Jalil memiliki atmosfera yang tersendiri.

“Baik daripada segi kemudahan iaitu fasiliti dan pengangkutan awam, saya percaya ia sangat memudahkan penyokong-penyokong untuk hadir ke Stadium Nasional,” ujarnya.

- Advertisement -