TERIKAT 3-3 selepas babak separuh akhir pertama, penyandang juara PKS Uniten-KPT memburu jaringan awal yang dianggap boleh menjadi penentu kemenangan apabila berdepan PDRM Blue Warriors pada perlawanan separuh akhir kedua Piala Vivian May Soars esok.

Pengendali Uniten Lailin Abu Hassan tidak lagi mahu episod terpaksa bertungkus lumus mengejar dari belakang setiap kali bertemu PDRM Blue Warriors berulang esok.

“Dua kali menentang PDRM, dua kali juga kami ketinggalan jaringan dan terpaksa mengejar dari belakang. Saya ingatkan pemain supaya keadaan sama tidak berlaku esok kerana ini akan menjejaskan tumpuan dan strategi permainan,” kata beliau.

Status sebagai juara bertahan juga tidak membawa sebarang kesan kerana kedua-dua Uniten dan PDRM kini berada pada tahap sama. “Saya telah merancang strategi bersesuaian, pertukaran pemain selain berharap perlawanan ditentukan dalam 60 minit dan tidak diheret ke penentuan penalti,” kata Lailin.

Jurulatih PDRM Ahmad Nizam Yusof pula berkata dalam keadaan perlawanan hidup mati, pelbagai kemungkinan boleh berlaku. “Kami yakin mampu serap apa juga tekanan dan pemain berada pada tahap fizikal dan mental yang baik. Semua pemain sedar kita ada hanya satu peluang, jadi semua perlu berikan yang terbaik,” kata beliau.

Ketika Uniten dan PDRM diulit debaran menentukan siapa layak ke akhir, UniKL Ladies pula tidak sabar mencongak untuk bertemu lawan di perlawanan akhir nanti.

Kemenangan 8-0 memang sudah cukup selesa buat jurulatih UniKL Ladies Roslan Jamaluddin yang berkata separuh akhir kedua menentang Sabah lebih merupakan latihan untuk persiapan ke perlawanan akhir nanti.

“Bukan bermaksud merendah keupayaan Sabah tetapi perlawanan esok akan digunakan untuk mencatur strategi pada perlawanan akhir. Antara Uniten atau PDRM, kami sudah bersedia menentang kedua-duanya nanti,” kata Roslan. 

JADUAL PERLAWANAN:

Rabu, 31 Mac:

Separuh Akhir 2

PKS Uniten (3) KPT mln PDRM Blue Warriors (3)

Sabah (0) UniKL Ladies (8)

- Advertisement -