Pelumba pasukan Red Bull, Max Verstappen mengecewakan Lewis Hamilton dan Valterri Bottas apabila menjuarai perlumbaan Grand Prix Formula Satu (F1) Malaysia 2017 di Litar Sepang, di sini hari ini.

Ia merupakan kemenangan kedua pelumba berusia 20 tahun itu dalam kariernya di Formula One.

Meskipun bermula dipetak ketiga, semangat yang dipamerkan Max Verstappen cukup luar biasa tatkala menanti peluang untuk memintas pelumba Ferrari, Kimi Raikkonen dan Lewis Hamilton daripada Mercedes AMG Petronas yang bermula dipetak paling depan.

Tuah seakan akan memihak Verstappen apabila Raikkonen terkeluar daripada perlumbaan selepas jenteranya mengalami masalah teknikal.

Detik kejayaan Max Verstappen bermula ketika di pusingan keempat apabila berjaya memintas Hamilton yang dilihat bergelut untuk menyesuaikan diri dengan permukaan litar yang baru.

Beliau terus memacu meninggalkan pencabar pencabar lain sekaligus melengkapkan 56 pusingan terakhir di Litar Antarabangsa Sepang selaku juara dengan catatan masa 1 jam 30 minit 1.290 saat.

Hamilton akur untuk menaiki podium selaku naib juara, ketinggalan 12.770 saat dibelakang juara manakala rakan sepasukan Verstappen, Daniel Ricciardo melengkapkan podium selaku pemenang tempat ketiga.

Kedudukan pelumba keseluruhan selepas GP Malaysia, Hamilton masih mengungguli carta selaku pendahulu dengan 281 mata, mengatasi pencabar terdekat daripada pasukan Ferrari, Sebastien Vettel yang mengumpul 247 mata.

 

- Advertisement -