Persekutuan Bolasepak Vietnam (VFF) mengesahkan masih mahu jurulatih, Park Hang Seo untuk mengemudi skuad kebangsaan negara itu.

Ia sebagai kaedah untuk memberi ruang kepada Park Hang Seo untuk mempersiapkan pasukan menjelang temasya dwi tahunan, Sukan SEA 2019 dan kelayakan Piala Dunia 2022.

Proses rundingan untuk melanjutkan kontrak pengendali berusia 60 tahun itu akan dilaksanakan sebaik ejennya, Lee Dong jun tiba ke Hanoi.

Laporan media tempatan berkata, VFF bersedia untuk menaikkan gaji pengendali kelahiran Korea Selatan itu selain mengikat kontrak selama dua tahun berbanding cadangan asal untuk menilai semula kontraknya selepas setahun.

Namun, permintaan yang diutarakan oleh ejen Park Hang Seo sedikit meresahkan VFF kerana Lee Dong Jun meminta kenaikan lima kali ganda berbanding gaji semasa ketika ini.

Hang Seo yang pernah mengendalikan skuad kebangsaan Korea Selatan kini dibayar gaji 20 000 dolar US sebulan, dan jika VFF bersetuju untuk memenuhi permintaan Lee Dong Jun, badan induk bolasepak Vietnam perlu mengeluarkan perbelanjaan sekitar 2 juta dolar US bagi pembayaran gaji, cukai, bonus, rumah dan kenderaan.

VFF yang turut mempunyai sumber kewangan yang kukuh perlu mengeluarkan nilai yang hampir sama untuk pembayaran ke atas ejen Park Hang Seo.

Kontrak Park Hang Seo akan tamat pada 31 January 2020. Sepanjang mengendalikan skuad ‘Golden Dragons’ beliau berjaya menaikkan nama pasukan termasuk muncul naiob juara Kejohanan AFC B23 pada Januari tahun lalu selain menamatkan saingan Sukan Asia dikedudukan keempat.

Kejayaan paling manis pastinya menjulang trofi Piala AFF 2018 selepas menewaskan Malaysia dipentas final sekaligus menamatkan penantian lebih 10 tahun selepas kali pertama muncul juara pada 2008.

 

 

 

- Advertisement -