Beberapa wakil pasukan menyuarakan rasa puas hati dengan Program Taklimat Dalam Talian Ketua-Ketua Pegawai Eksekutif Kelab Liga Malaysia 2021 yang diadakan Malaysian Football League (MFL) pada 13 dan 14 Januari lalu.

Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Selangor FC, Dr Johan Kamal Hamidon menyifatkan walaupun taklimat ini dijalankan secara dalam talian ekoran Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) namun semua pasukan mendapat segala mesej yang diperlukan sebelum bermulanya Liga Malaysia 2021.

Tambahnya, suasana taklimat ini juga sedikit berlainan dan cukup menarik kerana ramai wajah baharu yang datang terdiri daripada pelbagai latar belakang mengetuai operasi pasukan yang bersaing di Liga Malaysia.

ā€œ Biarpun secara dalam talian, bagi saya tiada apa salahnya pendekatan yang dibawa MFL dalam suasana sekarang walaupun mungkin tidak sama secara bersemuka.

ā€œ MFL telah menyediakan segala bahan yang diperlukan bagi pemahaman semua pasukan berdasarkan maklumat yang ada, satu usaha yang baik biarpun kita sedang hadapi suasana yang sukar pada masa sekarang.

ā€œ Taklimat kali ini banyak juga perubahan di beberapa perkara kerana ini pertama kali semua pasukan sudah berdaftar atas nama kelab tetapi secara asasnya, masih ada perkara yang sama.

ā€œ Kali ini ramai muka baharu yang punyai peranan berbeza sebelum ini dalam bola sepak tetapi mereka datang kali ini sebagai CEO, ini menjadikan satu suasana yang menarik bagi Liga Malaysia, ā€ katanya.

Sementara itu, pemilik kelab Kelantan FC, Norizam Tukiman menyifatkan sebagai pendatang baharu dalam kancah bola sepak selaku CEO pasukan, banyak persoalan yang diutarakan dalam sesi taklimat tersebut terutamanya daripada aspek perundangan.

Jelasnya, taklimat yang kali pertama diadakan ini merupakan permulaan yang cukup baik sebelum saingan Liga Malaysia bermula pada Februari depan dan kerjasama yang diberikan oleh setiap ketua unit baik daripada MFL dan Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM) cukup baik dalam membentangkan info.

ā€œSaya sebagai pemilik memang rasakan amat penting untuk kita semua ambil tahu perihal hak kelab dan pemain, sebagai contoh berkenaan penyokong di mana sekiranya berlaku sebarang rusuhan antara penyokong, kami sebagai pemilik kelab akan dipertanggungjawabkan dan mereka menjelaskan antara denda-denda yang akan dikenakan.

ā€œPembentangan yang diberikan juga sangat jelas dan saya antara yang banyak juga mencelah untuk bertanyakan soalan terutamanya pada bahagian perundangan berkenaan kontrak pemain dan sebagainya, jadi semua benda yang dibincangkan dalam taklimat itu cukup terperinci.

ā€œSecara keseluruhan, taklimat yang diberikan ini merupakan perkara baik dan bermanfaat untuk kami sebagai CEO pasukan dan saya berasa teruja dengan apa yang pihak MFL telah usahakan ketika iniā€, jelasnya.

Pemangku Ketua Pegawai Ekskutif (CEO) Sarawak United FC, Naresh Kumar Bhaskaran, pula mengakui taklimat itu banyak menjawab segala persoalan yang terbelenggu bagi kebanyakan pasukan yang akan bergerak atas kapasiti kelab.

ā€œ Banyak persoalan seperti pemasaran dan komersial yang menuntut penjelasan daripada MFL, secara umumnya, saya sudah nampak apa perkara yang kami boleh dengan tidak boleh dalam mendapatkan penajaan.

ā€œ Saya memuji idea serta pendekatan MFL yang mahu membawa budaya profesional yang tinggi dalam bola sepak kita tetapi perkara ini akan memakan masa kerana semua pihak memerlukan masa untuk belajar serta faham bagaimana proses ini mampu dijalankan, ā€ katanya.

Presiden MFL, Datuk Haji Hamidin Haji Mohd Amin turut bersama dalam sesi penyampaian taklimat itu yang diketuai oleh Ketua Pegawai Eksekutif MFL, Datoā€™ Ab Ghani Hassan serta barisan Ahli Lembaga Pengarah MFL yang mempengerusikan unit masing-masing.

Turut serta Setiausaha Agung Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), Stuart Ramalingam.

- Advertisement -