welson

Oleh Muhammad Aiman

Perenang muda yang semakin mencipta nama, Welson Sim Wee Sheng mengakui semangatnya semakin membara selepas kecemerlangannya di Singapura minggu lalu menghadiahkan slot beraksi di temasya Sukan Olimpik Rio De Janeiro 2016.

Atlet berusia 18 tahun itu berkata dia hanya mensasarkan kelayakan secara merit dalam satu acara dan ia ibarat mimpi menjadi kenyataan buatnya apabila layak secara merit dalam dua acara – 200m dan 400m gaya bebas – namun mengakui belum masanya untuk dia mendabik dada dan berpendapat cabaran sebenar baru sahaja bermula.

“Sukan Olimpik bukan cabaran mudah. Saya tidak berani meletakkan sebarang sasaran spesifik tapi ia satu peluang yang baik untuk saya beraksi dengan jaguh renang dunia. Saya akan cuba lakukan yang terbaik, terutamanya untuk perbaharui catatan masa peribadi dan kebangsaan serta dapatkan sebanyak mungkin pengalaman dan bersedia untuk Sukan Olimpik empat tahun berikutnya,” ujar Welson.

Welson bangkit dari prestasi buruk ketika beraksi di Kejohanan Akuatik Dunia di Kazan tahun lalu – sepertimana diakui jurulatihnya Paul Birmingham – dan menjelaskan betapa faktor pengalaman banyak membantu memperbaiki keyakinannya untuk tampil dengan prestasi yang lebih baik.

“Saya agak gugup ketika beraksi di Kejohanan Dunia tahun lalu, saya tahu saya banyak buat silap. Tetapi pengalaman itu banyak mematangkan saya. Perkara paling penting adalah bagaimana saya merubah mentaliti saya, cuba untuk terus positif, fokus dan bekerja keras dalam sesi latihan. Jurulatih (Paul Birmingham) tidak putus memberi motivasi dan ia banyak membantu meningkatkan keyakinan saya,” jelasnya.  

Paul Birmingham yang merupakan ketua jurulatih renang kebangsaan sejak 2008 pula berharap agar tekanan terlalu tinggi tidak diletakkan ke atas Welson mengambil kira usia mudanya dan menegaskan masih banyak lagi yang perlu dipelajari atlet itu.   

Welson, atlet kelahiran Kuching, Sarawak mencipta kejutan apabila layak secara merit ke Sukan Olimpik Rio De Janeiro 2016 dalam dua acara iaitu 200m dan 400m gaya bebas setelah memecahkan rekod kebangsaan miliknya sendiri menerusi penyertaan di Kejohanan Renang Peringkat Umur Kebangsaan Ke-47 di Singapura  yang telah berlangsung dari 16-20 Mac lalu.

Welson yang terlibat di dalam Program Kita Juara 2017 (program khusus buat atlet di dalam mengintai gemilang di Sukan Sea 2017) ini menjadi perenang Malaysia yang pertama layak secara merit dalam dua acara. Sebelum ini, Malaysia pernah mempunyai Alex Lim Keng Liat sebagai atlet yang layak secara merit dalam acara 100m kuak lentang di Sukan Olimpik Athens 2004.

“Kita sangat berbangga dengan pencapaian anak muda ini yang mula ikut program kita sejak sejak 2013. Kita cukup komited mahu melihat lebih ramai atlet akan mengikut jejak Welson untuk layak ke Rio secara merit melalui program Kita Juara. Kita akan buat perancangan latihan luar negara, serta siri latihan khusus lain yang kita akan tentukan dan masukkan dalam program,” ujar Dato’ Abdul Jalil Abdullah, Timbalan Ketua Pengarah Majlis Sukan Negara.  

Abdul Jalil turut menegaskan bahawa belum tiba masanya untuk Welson diserap ke dalam Program Podium yang dilancarkan pada bulan lalu, sebaliknya buat masa ini perenang itu akan terus diberi tumpuan dan bantuan yang diperlukan dalam Program Kita Juara 2017.    

- Advertisement -