rio-og-2016Oleh Ku Mohd Lufti 

Perenang muda negara, Welson Wee Sheng perlu bekerja keras andai mahu memburu tiket kategori B ke sukan Olimpik Rio dalam acara 1500 Meter.

Masih ada ruang buat perenang kelahiran Sarawak ini untuk memperkemaskan tekniknya kerana peluang untuk memburu tiket ke sukan olimpik Rio masih lagi terbuka.

Welson yang menyertai Kejohanan Renang Peringkat Umur Kebangsaan di Pusat Akuatik Darul Ehsan sedikit kecewa dengan prestasinya kerana gagal untuk sekurang kurangnya menyamai rekod peribadi yang dicipta.

“Saya kecewa tetapi tidak mengapa kerana ianya masih catatan yang baik. Saya akan lakukan yang terbaik lagi di Kejohanan Renang Terbuka Malaysia. Saya perlu pertingkatkan lagi pengalaman dalam mengatasi tekanan ketika beraksi,” katanya.

Malah, Welson mahu mencuba sekali lagi untuk melakar keputusan yang lebih baik bagi acara 1500 Meter gaya bebas di Kejohanan Renang Terbuka Malaysia akan berlangsung dari 5 hingga 8 Mei nanti.

Hari terakhir Kejohanan Renang Peringkat Umur Kebangsaan, Welson muncul juara bagi acara 1500 Meter gaya bebas dengan catatan masa 15 Minit 54.30 saat.

Naib juara milik seorang lagi perenang elit, Kevin Yeap Soon Choy yang mencatat masa 15 minit, 55.50 saat.

Terdahulu, Welson turut memenangi acara 200 Meter gaya bebas, dengan catatan 1 minit 50.10 saat, gagal menyamai catatan terbaiknya 1 minit 47.67 saat yang dilakukan di Singapura.

- Advertisement -