rio.olympics

Oleh Muhammad Aiman

Perenang sensasi negara ketika ini, Welson Sim menambah satu lagi tiket kategori B ke Sukan Olimpik Rio De Janeiro menerusi acara 1,500m gaya bebas lelaki setelah melepasi had masa kelayakan di Kejohanan Renang Terbuka Malaysia ke-59 pada Ahad.

Walaupun terlalu jauh untuk menyaingi had masa kelayakan merit 15 minit 14.77s, Welson melakukan catatan masa 15 minit 35.63s dalam laluan untuk meraih emas ketiganya di kejohanan ini di Pusat Akuatik Darul Ehsan sekaligus menempah slot kategori B yang kedua baginya.

Mengulas mengenai pencapaian ini, Welson berkata, “Memang susah untuk melepasi had masa ke Sukan Olimpik, tetapi saya berpuas hati dengan catatan masa ini kerana ini catatan terbaik saya. Saya perlu mengatasi rekod kebangsaan bagi acara 1,500m terlebih dahulu sebelum memikirkan tentang had kelayakan merit ke Olimpik.”

Untuk rekod, catatan masa terbaik (rekod kebangsaan) bagi acara 1,500m gaya bebas masih dipegang oleh bekas perenang kebangsaan Jeffrey Ong  dengan catatan 15:23.61s yang dilakukannya pada 1991.

Welson sebelum ini sudahpun meraih dua slot secara merit bagi acara 200m dan 400m gaya bebas selain slot kategori B bagi acara 100m gaya bebas.

Atlet kelahiran Sarawak itu berkata dia masih mempunyai masa untuk merebut kelayakan merit bagi acara 100m gaya bebas dan 1,500 gaya bebas menerusi penyertaan di tiga kejohanan eropah selepas ini sambil mengharapkan latihan selama dua minggu bersama pasukan Australia dan perenang nombor satu dunia Mack Horton akan membantu meningkatkan prestasinya.

Sementara itu, Welson menghadiahkan emas ketiga yang diraih dalam acara 1,500m gaya bebas Kejohanan Terbuka Malaysia yang menutup tirai hari ini kepada ibunya sempena sambutan Hari Ibu.

Bintang muda berusia 19 tahun itu turut memenangi emas acara 200m gaya bebas dan 400m gaya bebas serta pingat perak 100m gaya bebas sebelum ini.

- Advertisement -