WILAYAH Persekutuan muncul kontinjen paling banyak memenangi pingat emas pada hari keempat temasya Sukma XX MSN 2022 yang menyaksikan Johor dan Melaka terus mengungguli dua kedudukan teratas dalam pungutan pingat hari ini. 

Sehingga malam ini, kedua-dua kontinjen Johor dan Melaka terikat dengan tujuh emas keseluruhan manakala Wilayah Persekutuan, yang meraih emas menerusi atlet olahraga Kok Hui Ying (Jalan Kaki 5,000 meter), Kueggen Vijaya Kumar (Karate Lelaki 60kg), G. Darishini Gnanasekaran (Karate Wanita 50kg) dan wushu menerusi Lydia Lau Pei Yi (Nangun Wanita), di kedudukan ketiga keseluruhan. 

Tiga emas yang disumbangkan atlet olahraga Nur Atiqah Sufiah Hanizam (Lempar Cakera Wanita), pelumba Muhammad Nur Aiman Rosli (Berbasikal Lepas Beramai-ramai Individu 160km) dan Lee Jia Rong (Wushu) dalam acara Gunshu Wanita membantu Johor terus menguasai carta pingat. 

Begitupun, atlet wushu Si Shin Peng (Qiangshu Lelaki) dan Tan Zhi Yan (Taijiquan Lelaki) masing-masing menyumbang satu emas hari ini untuk membantu Melaka  mengikat Johor dengan pungutan sama 7 emas keseluruhan setakat ini. 

Pahang juga antara yang menuai hasil hari ini dengan tiga emas – Muhammad Ikbolasen Kamal Hussain dalam acara olahraga 10,000 meter, Nani Sahirah Maryata dalam Lontar Peruru Wanita manakala  satu lagi emas menerusi  Liang Kai Siang (Wushu Gunshu Lelaki) yang membantu memperbaiki kedudukan keseluruhan kontinjen Pahang di tempat ke-4 setakat ini. 

Keseluruhan emas Melaka setakat ini hadir menerusi wushu dengan Si Shin Peng menjuarai Qiangshu Lelaki manakala Tan Zhi Yan mengungguli Taijiquan. 

Negeri Sembilan juga memecah kebuntuan emas hari ini menerusi Pang Pui Yee (Qiangshu Wanita), begitu juga dengan emas pertama Perak sumbangan atlet Lompat Kijang Nurul Ashikin Abas, yang mencatat jarak lompatan sejauh 12.81 meter. 

Kedah  akhirnya menuai emas pertama menerusi atlet karate P. Madhuri yang nyata unggul dalam Karate Wanita acara 55kg. 

Selepas menamatkan kempen tanpa emas semalam, Pulau Pinang mempamerkan kemampuan meraih dua emas karate menerusi ThevendranKalianna Sundram (Lelaki 55kg) dan Yong Kojiro dalam Kata Lelaki. 

Chuah Shangyang menafikan penguasaan Melaka dalam wushu dengan mengetepikan lawan dalam saingan Nangun Lelaki di Gimnaasium 2, MSN. 

Dalam bolasepak, skuad Terengganu dan Pulau Pinang menarik nafas lega apabila melepasi pusingan awal seterusnya mengesahkan tempat ke suku akhir. Terengganu menewaskan Kelantan 2-0 manakala Pulau Pinang meraih kemenangan tipis 1-0 mengatasi Perlis 1-0.  

Ketua jurulatih Pulau Pinang, Akmal Rizal Rakhli berkata, berdepan Kedah pada suku akhir, anak-anak buahnya akan bermain sebaik mungkin untuk mara ke separuh akhir. 

“Semangat juang pemain nyata amat tinggi, dan tahniah buat penjaga gol dan  barisan pertahanan yang amat berdisplin dalam perlawanan hari ini,” kata beliau. 

Pada saingan hari kelima di Stadium Nasional Bukit Jalil esok, 11 emas menjadi pertaruhan dalam olahraga dengan tumpuan pasti terarah ke saingan akhir 100 meter yang membabitkan pelari pecut kebangsaan Muhammad Azeem Fahmi dan pesaing terdekat Muhammad Haiqal Hana dari Negeri Sembilan. 

Azeem, 18, pastinya menjadi tumpuan esok dalam misi mencccatatkan masa di bawah 10.3 pada akhir esok. “Alhamdulillah syukur  saya dapat lakukan larian yang agak baik dan antara yang terpantas dalam hidup saya. Jadi untuk pusingan akhir esok (Jumaat) saya akan cuba melakukan yang lebih baik,” kata Azeem. 

Sejumlah 30 pingat emas menjadi rebutan esok (Jumaat, 16 Sept) dengan olahraga yang terbanyak (11 emas), diikuti Wushu (10), Karate (7) dan Berbasikal Lebuhraya (2).

Sukan lain yang dijadualkan esok termasuk Sepaktakraw Lelaki, Kriket, Bolasepak, Hoki, Bola Keranjang 5×5, Petanque dan Boling Padang.  

- Advertisement -