Pemain TNB, Nik Mohamad Aiman diasak pemain Sapura Joel Samul Van Huizen dalam aksi di Stadium Hoki KLHA. Sapura menang 2-1.

Oleh Muhammad Aiman

Sapura mengekalkan kelebihan satu mata di tangga teratas Divisyen Perdana Liga Hoki Malaysia setelah bekerja keras menundukkan Tenaga Nasional Berhad (TNB) 2-1 dalam aksi di Stadium Hoki Kuala Lumpur pada Jumaat.

Jaringan Dangerous Lee pada minit kesepuluh dan Azrul Hasbullah tujuh minit kemudian mengesahkan tiga mata berharga buat skuad bimbingan Yahya Atan meskipun hampir berputih mata dengan kebangkitan lewat permainan yang cuba diterjemahkan TNB.

Setelah merapatkan defisit jaringan menerusi Ariff Sabron pada minit ke-42, TNB meraih tujuh pukulan sudut penalti tatkala mereka melancarkan asakan bertali arus ke gawang Saapura namun gagal untuk mendapatkan gol penyamaan yang dicari.

Kemenangan membolehkan Sapura menamatkan aksi pusingan pertama selaku pendahulu dengan 12 mata hasil empat kemenangan dan Yahya mahu pemainnya mengekalkan komitmen serta disiplin yang ditunjukkan setakat ini agar momentum kemenangan dapat diteruskan dalam baki saingan.

“Banyak pasukan akan memberi tekanan kepada kita kerana kita ketika ini sedang mendahului liga, jadi adalah penting pemain saya tidak terbuai dan kekal fokus. Saya gembira dengan komitmen dan kesungguhan yang mereka tunjukkan.

“Kemenangan ini cukup getir buat kita, ia penting untuk meningkatkan keyakinan pemain apabila kita sekali lagi berdepan TNB bagi permulaan pusingan kedua pada Ahad,” ujar Yahya.

Sementara itu, Kelab Hoki Kuala Lumpur terus menghimpit kedudukan Sapura dengan beza hanya satu mata setelah menundukkan Maybank 4-1 di Stadium Hoki Bukit Serindit, Melaka manakala juara bertahan Terengganu Hockey Team (THT) kekal di tangga ketiga dengan tujuh mata setelah menundukkan Universiti Kuala Lumpur (UniKL) 3-1.

Dalam aksi di Kuala Terengganu, THT membuka jaringan menerusi Nicolas Enrique Della Torre pada minit ke-20 sebelum pemain dari Korea Selatan, Jang Jong Hyun menggandakan kelebihan dua minit kemudian.

Kim Jung Hoon menjadikan kedudukan 3-0 buat THT pada minit ke-52 sebelum UniKL beroleh gol saguhati menerusi Rafizul Ezry Mustafa pada minit ke-56.

- Advertisement -