Atas kesedaran mahu kembali menyumbang kepada masyarakat menerusi golf, pemain professional negara Irfan Yusoff nekad menubuhkan sebuah yayasan bagi membantu golongan muda menjadikan golf sebagai karier masa depan.

Golf seharusnya dianggap sebagai karier serius yang mampu menyumbang kepada kemajuan diri selain menjana pembangunan negara menerusi kecemerlangan di peringkat dunia dan pelancongan sukan tempatan.

Namun bagi Irfan, paling utama ialah memastikan golongan muda terutamanya kanak-kanak berjinak dengan golf di peringkat awal untuk menimbulkan minat menjadikan golf professional sebagai satu profesion.

Untuk itu, Irfan mengorak langkah mewujudkan Yayasan Irfan Yusof (IRFAN YUSOFF FOUNDATION) sebagai usaha jangka panjang melahir, mengasah, membimbing dan membuka peluang buat pemain muda beraksi di pelbagai kejohanan di dalam mahupun di luar negara.

Sebagai usaha awal, IYF kini berusaha mengumpul dana bagi membantu pemain muda dari kalangan pelajar negeri Kedah menyertai Kejohanan Golf MSSM yang dijadualkan berlangsung di Labuan dari 8 hingga 11 April depan. Yayasan berkenaan dinaungi Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan (Exco) Kedah bagi Komunikasi dan Multimedia dan Badan-badan Bukan Kerajaan (NGO) YB Encik Firdaus Ahmad.

Sebagai anak Kedah, Irfan, yang berasal dari Jitra, merasakan tanggungjawab itu sebagai sumbangan kecil untuk membantu pelajar negeri itu tampil beraksi pada kejohanan MSSM nanti tanpa memikirkan masalah seperti kos atau dan persiapan.

Untuk itu, beliau mengusahakan penganjuran perlawanan golf amal “Road to MSSM Labuan 2019” yang berlangsung pada Sabtu, 23 Mac di Kelab Golf Seri Selangor di sini. Hasil yang terkumpul digunakan untuk membiayai kos penyertaan pemain seperti membeli peralatan dan latihan untuk menyertai Kejohanan Golf MSSM di Labuan nanti.

Kejohanan amal menerima sumbangan daripada pelbagai individu dan syarikat termasuk daripada YAB Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad, Menteri Besar Kedah Dato Seri Mukhriz Tun Mahathir serta beberapa angota-angota Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri Kedah.

Antara syarikat yang tampil menyokong termasuk syarikat ICT terkemuka, Protellus (M) Sdn Bhd yang merupakan Penaja Utama kejohanan, MST Golf, Kelab Golf Seri Selangor dan Permodalan Kedah Berhad (PKB). Majlis Sukan Negeri Kedah memrupakan penyelia sumbangan dari segi penyaluran dari dari pihak swasta dan kerajaan.

Irfan, 25, merupakan antara pemain yang aktif terbabit dalam Kejohanan-kejohanan Pembangunan Asia (ADT) dan pelbagai sirkit professional dalam negara. Beliau kini merupakan duta Kelab Golf Seri Selangor dan merupakan penyumbang pingat kepada pasukan Kedah di MSSM dan juga Sukma Pahang 2012.

Kejayaan professional Irfan yang terkini termasuk memenangi dua kejohanan utama dalam siri Jelajah PGM iaitu PGM Impian Closed 2015 dan juga PGM Global One Players’ Championship di Negeri Sembilan pada Disember tahun lepas.

- Advertisement -