DSC_1958

Berterima kasih kepada Yuzy, Boon Siew Honda bagi peluang

Pada tahun 2014, nama Mohd Zaqhwan Zaidi merupakan antara yang paling menonjol di dalam arena permotoran Malaysia, malah disebut sebagai pengganti kepada Azlan Shah Kamaruzaman di dalam pasukan Honda Team Asia GP. Namun perjalanannya ke pentas dunia itu berjalan lebih cepat pada jangkaan.

Belumpun sampai setahun kemudian, pada musim 2015 Zaqhwan Zaidi merupakan antara individu yang paling gembira kerana masih diberikan peluang untuk memulakan kembali kariernya setelah perjalanan di pentas GP terhenti sekalipun saingan masih panjang.

Keputusan berani Zaqhwan untuk menarik diri dari pentas Moto2 mencetuskan sedikit kontroversi. Walau bagaimanapun, pertikaian terhadap kontrak bersama pasukan menyebabkan pelumba muda berusia 20 tahun itu tidak mempunyai banyak pilihan.

“Pada ketika itu saya benar-benar terfikir karier saya sudah berakhir. Saya terfikir yang saya juga akan berada dalam senarai pelumba yang terlalu awal ke pentas dunia dan kemudiannya berakhir dengan sia-sia. Karier yang sepatutnya memberi harapan cerah namun berakhir dengan kegelapan. Apa yang saya mahukan hanyalah berlumba. Namun saya mempelajari sesuatu yang berguna, untuk mencapai potensi ke tahap maksimum, seseorang pelumba juga perlu turut menerima sokongan penuh daripada pasukannya,” jelas Zaqhwan.

Apabila masalahnya sampai ke telinga mentor yang selama ini membimbing perjalanan kariernya, Shahrol Yuzy, Zaqhwan menerima satu perkhabaran gembira.

“Dia (Yuzy) memberi sokongan ketika saya mahu melangkah ke MotoGP, dan apabila masalah timbul, dia jugalah orang yang membantu saya untuk kembali ke pentas yang menjadi darah daging saya selama ini. Anda boleh mengatakan bahawa dia telah memulakan karier saya sebanyak dua kali, dan saya juga terhutang budi kepadanya,” jelas Zaqhwan.

Meskipun begitu, kemunculan kembali di pentas Cub Prix dan Kejuaraan Motosikal Asia bukanlah perkara mudah seperti yang orang ramai fikirkan. “Banyak tekanan ketika berada di atas litar, mungkin disebabkan saya membawa jentera bernombor 1 yang menunjukkan saya adalah jura musim sebelumnya.

“Ada yang menjangkakan saya dapat memenangi perlumbaan dengan mudah. Namun sebenarnya banyak perubahan telah berlaku dalam tempoh hanya enam bulan. Banyak peningkatan telah ditunjukkan oleh pelumba-pelumba dan pasukan, malah gaya berlumba saya juga telah berubah. Boleh dikatakan menunggang jentera Moto2 memerlukan ketepatan berbanding gaya agresif. Ia terbukti ketika kemunculan pertama saya di Melaka, banyak kesilapan yang dilakukan. Tidak hairan apabila saya terjatuh pada perlumbaan akhir,” jelas Zaqhwan apabila mengimbas kembali kegagalannya untuk menamatkan perlumbaan pada aksi pertamanya di pentas Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS sewaktu pusingan kelima di Melaka.

Walau bagaimanapun, Zaqhwan tidak mahu menoleh ke belakang terutama selepas meraih podium di tempat ketiga pada Pusingan 6 di Kangar, Perlis dan juga setelah menandatangani perjanjian kembali bersama pasukan Musashi Boon Siew Honda Racing di Kejuaraan Motosikal Asia FIM, keputusan yang dilihat membawa harapan cerah untuk kariernya pada masa hadapan.

Dengan Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS hanya berbaki tiga pusingan sahaja lagi, Zaqhwan menuju ke Pusingan 8 yang berlangsung di Taman Ekspo Pertanian Malaysia Serdang (MAEPS) dengan harapan dapat menamatkan siangan musim 2015 di kelompok 10 pelumba terbaik keseluruhan. Dengan 16 mata yang dikumpul dan kini berada di tangga ke-17, Zaqhwan yakin mampu untuk melonjakkan lagi kedudukannya.

“Jika berjaya, saya sekali lagi akan berterima kasih kepada Yuzy dan pasukan. Menyedari hakikat yang saya seakan masih belum dapat menyesuaikan diri dengan jentera, pasukan juga mengatur sesi latihan berterusan bagi membantu saya mendapatkan kembali rentak saya dahulu yang telah hilang,” simpul Zaqhwan.

Perlumbaan Pusingan 8 Kejuaraan Cub Prix AAM Malaysia PETRONAS adalah terbuka kepada orang ramai dan menyajikan pelbagai aktiviti menarik yang sesuai untuk seisi keluarga. Masuk adalah percuma!

- Advertisement -