Lee Zii Jia dan Goh Jin Wei memastikan cabaran Malaysia dalam acara perseorangan Terbuka Taiwan terus berkibar apabila masing-masing melangkah ke peringkat separuh akhir.
Dalam aksi suku akhir perseorangan lelaki, Zii Jia mengambil masa 40 minit untuk mencatat kemenangan 21-16, 21-19 ke atas pemain pilihan kelapan dari Thailand, Khosit Phetpradab.
Manakala Jin Wei pula yang masih belum menampakkan sebarang impak di peringkat senior sejak muncul juara remaja dunia pada 2015, mara setelah menewaskan pemain tuan rumah Pai Yu Po 21-15, 21-17.
Di peringkat separuh akhir, Zii Jia akan bertemu pemain tuan rumah yang juga pilihan utama Chou Tien Chen manakala Jin Wei yang diletakkan sebagai pilihan ketiga akan menentang pemain Jepun, Haruko Suzuki. 
Turut mara ke separuh akhir adalah pasangan beregu lelaki, Chooi Kah Ming-Low Juan Shen yang bekerja keras  mengetepikan cabaran beregu Korea Selatan, Choi Solgyu-Kim Jae Hwan 14-21, 22-20, 28-26 dalam aksi berlangsung 62 minit. 
Gandingan itu yang akan beraksi di Kejohanan Dunia di Glasgow bulan depan akan menentang pasangan pilihan kedua dari Taiwan, Chen Hung Ling-Wang Chi Lin. 
Sementara itu, dua lagi wakil negara iaitu Daren Liew (perseorangan lelaki) dan Lim Yin Loo-Yang Cheng Weng (beregu wanita) pula masing-masing kandas di peringkat suku akhir. 
Daren, pilihan kesebelas kejohanan tunduk 13-21, 21-18, 14-21 kepada pemain pilihan keenam dari Korea Selatan, Jeon Hyeok Jin manakala Yin Loo-Cheng Weng tersingkir setelah tunduk kepada Chae Yoo Jung-Kim So Yeong 17-21, 21-12 dan 21-15. – OLEH MUHAMMAD AIMAN
- Advertisement -