Goh Soon Huat-Shevon Lai

Pemain muda berusia 19 tahun, Lee Zii Jia menjadi pilihan Persatuan Badminton Malaysia (BAM) untuk menggalas cabaran dalam aksi perseorangan lelaki di temasya Sukan SEA Kuala Lumpur 2017, mengiringi pemain perseorangan kedua, Iskandar Zulkarnain Zainuddin.

Zii Jia mengetepikan juara kebangsaan dua kali, Lim Chi Wing serta pemain lebih senior, Soong Joo Ven namun pemain itu yang baru-baru ini disahkan sebagai pemain paling cergas dalam kem badminton negara menerusi ujian fizikal dikendalikan BAM, akan memikul tugas berganda kerana dia turut disenaraikan beraksi dalam acara berpasukan.

Presiden BAM, Datuk Seri Norza Zakaria berkata badan induk itu sekadar meletakkan sasaran untuk meraih pingat gangsa dalam acara perseorangan lelaki meskipun di Singapura 2015, kedua-dua pingat emas dan perak menjadi milik Malaysia setelah Chong Wei Feng menewaskan Arif Latiff di perlawanan akhir.

“Kita harap perseorangan lelaki boleh layak sekurang-kurangnya ke separuh akhir. Kita mempunyai sandaran yang kuat dalam acara beregu wanita dan beregu campuran jadi harapan kita emas akan hadir dalam dua acara itu,” kata Norza sambil menyatakan bahawa sasaran pingat di KL 2017 adalah dua emas, dua perak dan empat gangsa.

Berdasarkan rekod lalu, sememangnya acara beregu wanita sentiasa menjadi sandaran pasukan badminton negara meraih emas di mana gandingan Wong Pei Tty-Chin Eei Hui melakukannya pada edisi Filipina 2005 dan Laos 2009, diikuti Vivian Hoo-Woon Khe Wei di Myanmar 2013 manakala di Singapura 2015, Malaysia mempertahankan emas menerusi gandingan Amelia Alicia Anscelly-Soong Fie Cho.

Untuk edisi kali ini, cabaran dalam acara beregu wanita akan dipikul sekali lagi oleh gandingan Vivian-Khe Wei manakala beregu campuran pula digalas oleh Goh Soon Huat-Shevon Lai Jemie yang semakin menunjukkan peningkatan dan baru-baru ini layak ke perlawanan akhir Grand Prix Emas Terbuka Thailand.

Bekas juara remaja dunia, Goh Jin Wei dan Soniia Cheah menjadi pertaruhan dalam acara perseorangan wanita manakala gandingan nombor dua negara Teo Ee Yi-Ong Yew Sim disandarkan harapan dalam acara beregu lelaki. 

 

SKUAD BADMINTON SUKAN SEA KUALA LUMPUR 2017

 

Berpasukan lelaki

Iskandar Zulkarnain, Lee Zii Jia, Soong Joo Ven, Lim Chi Wing, Teo Ee Yi, Ong Yew Sin, Goh Sze Fei, Nur Izuddin Rumsani, Goh Soon Huat, Chan Peng Soon

 

Berpasukan wanita

Goh Jin Wei, Soniia Cheah, Lee Ying Ying, Ho Yen Mei, Vivian Hoo, Woon Khe Wei, Chow Mei Kuan, Lee Meng Yean, Shevon Lai, Cheah Yee See 

 

Perseorangan lelaki : Iskandar Zulkarnain, Lee Zii Jia

Beregu lelaki : Teo Ee Yi-Ong Yew Sin, Goh Sze Fei-Nor Izuddin Rumsani

Perseorangan wanita : Goh Jin Wei, Soniia Cheah

Beregu wanita : Vivian Hoo-Woon Khe Wei, Chow Mei Kuan-Lee Meng Yean

Beregu campuran : Goh Soon Huat-Shevon Lai, Chan Peng Soon-Cheah Yee See

- Advertisement -