Melaka kukuh cengkaman di tangga teratas 100PLUS Liga Perdana

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2016/07/melaka-kukuh-cengkaman-di-tangga-teratas-100plus-liga-perdana">
Twitter
Pinterest

jdt2.ns

Oleh Muhammad Aiman

Melaka United terus menerajui kedudukan 100PLUS Liga Perdana setelah mencatat kemenangan 2-0 ke atas DRB Hicom di Stadium Hang Jebat, pada Jumaat.

Jaringan Ilija Spasojevis pada minit ke-26 dan Yashir Pinto pada minit ke-78 memadai buat anak buat Mat Zan Mat Aris melakar kemenangan kesepuluh mereka musim ini seterusnya mengungguli carta liga dengan 33 mata, dua mata mengatasi JDT II.

Dalam pada itu, JDT II menewaskan pasukan pilihan awal musim Negeri Sembilan 3-1 di Stadium Tuanku Abdul Rahman, Paroi untuk terus menghimpit kedudukan Melaka.

Paolo Rangel meletakkan JDT II di depan seawal minit kedua dan Syafiq Shaharudin menggandakan kelebihan pada minit ke-16, sebelum tuan rumah mengurangkan defisit jaringan pada minit ke-39 menerusi sepakan penalti yang disempurnakan Goran Jerkovic.

Pemain kebangsaan, Zaquan Adha Abdul Radzak bagaimanapun meledak jaringan ketiga buat skuad bimbingan Benjamin Mora sekaligus menutup sebarang peluang kebangkitan buat bekas pasukannya itu.

Di Likas, PKNS Selangor bangkit dari kekalahan besar 1-4 kepada Perak dalam aksi Piala Malaysia dengan menewaskan tuan rumah Sabah 3-1 seterusnya kekal berada dalam landasan memburu tiket beraksi di Liga Super musim depan.

Anak buah E.Elavarasan mendahului 2-0 menerusi jaringan Juan Cobelli pada minit keenam dan Matias Hadwa pada minit ke-21, sebelum Sabah merapatkan jurang menerusi jaringan sendiri Gonzalo Soto pada minit ke-30.

PKNS bagaimanapun memuktamadkan kemenangan dan membawa pulang tiga mata menerusi jaringan ke-14 liga ayam tambatan, Gabriel Guerra pada minit ke-66.

Dalam perlawanan lain, Kuala Lumpur melonjak ke tangga keempat liga setelah menundukkan Perlis 4-3 dalam perlawanan cukup dramatik di Stadium Selayang.

Skuad bimbingan Ismail Zakaria mendahului 2-0 hasil jaringan Jonathan Cantilana (m-14) dan Hafiz Johar (m-37), namun Singa Utara bangkit menyamakan kedudukan 2-2 melalui sentuhan Famirul Asyraf Sayuti (m-38) dan Park Yon Jung.

Giliran Perlis pula mendahului menerusi jaringan pemain pertahanan Afif Amirudin pada minit ke-56 namun skuad warga kota kembali mengikat kedudukan 3-3 menerusi Helmi Remeli (m-62) dan meraih tiga mata menerusi jaringan penalti seminit sebelum tamat perlawanan oleh Leo Carioca.

Kekalahan menyaksikan skuad Dollah Salleh tergelincir ke tangga ketujuh, dipintas Kuantan FA yang mencatat keputusan seri tanpa jaringan menentang Angkatan Tentera Malaysia.

Satu lagi perlawanan antara Uitm FC dan Sime Darby FC pula terpaksa ditunda berikutan cuaca buruk. 

Please follow and like us:
0