TAHAP kesediaan trek dan padang olahraga di Stadium Nasional Bukit Jalil (SNBJ) semakin menghampiri ke tahap terbaik sepenuhnya selepas menjalani “ujian” sepanjang Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia yang telah berlansung selama dua hari pada 17 & 18 Julai 2017.

Rata-rata, atlet tempatan dan luar negara berpuas hati dengan keadaan trek, padang dan kemudahan di stadium yang baru dinaik taraf itu.

Atlet lompat jauh Filipina, Tyler Ruiz, mengagumi SSNBJ dan menganggap venue itu mempunyai trek dan kemudahan olahraga terbaik.

“Saya teruja ketika beraksi di atas trek stadium, apatah lagi dengan standard peralatan yang berkelas dunia. Saya amat puas hati,” kata atlet lompat jauh yang mempunyai jarak lompatan terbaik 7.78m itu.

Keadaan gelanggang yang baik memberi kesan terhadap prestasi dan pencapaian atlet. Demikian pendapat atlet tukul besi Negeri Sembilan, Sadat Marzuqi Ajisan yang menganggap keadaan persekitaran trek dan padang yang baik membantu prestasi beliau meraih gangsa dalam kejohanan berkenaan.

“Permukaan simen untuk acara baling tukul besi amat memuaskan dan nyata membantu saya meraih kemenangan,” kata beliau.
Atlet lompat bergalah, Chuah Ya Tian juga selesa dengan kemudahan dan kelengkapan di stadium berkenaan biar pun agak tidak selesa dengan jadual masa penganjuran.

“Semua kelengkapan seperti tilam untuk acara lompat bergalah begitu sempurna berbanding sebelum ini.”
Begitu pun, beberapa rungutan kecil yang boleh diperbaiki juga disuarakan atlet, termasuk sistem bunyi yang agak bergaung yang boleh mengganggu konsentrasi atlet.

Quach Chong Lich dari Vietnam ungguli di tempat pertama dengan catatan masa 00:00:51.03 dalam acara 400 meter berpagar di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2017 yang telah berlansung di Stadium Nasional Bukit Jalil.
Quach Chong Lich dari Vietnam ungguli di tempat pertama dengan catatan masa 00:00:51.03 dalam acara 400 meter berpagar di Kejohanan Olahraga Terbuka Malaysia 2017 yang telah berlansung di Stadium Nasional Bukit Jalil.

Atlet lompat bergalah Singapura, Joel Ho berkata: “Secara keseluruhannya, semuanya baik tetapi ada sedikit gangguan pada sistem bunyi kerana bunyi yang agak kuat.”

Katherine Khay, atlet lompat jauh Filipina pula berpendapat segala peralatan sememangnya berkualiti tinggi manakala pegawai kejohanan pula amat professional.

- Advertisement -