9th ASEAN Para Games 2017 - RIMAU MaskotMalaysia mengesahkan tempat di separuh akhir Bolasepak Celebral Palsy (CP) Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017 dengan penuh bergaya setelah menewaskan Kemboja 12-0, pada Selasa.

Aksi di Padang C Majlis Sukan Negara itu menyaksikan skuad Asnan Md Zuki menjaringkan enam gol di setiap babak permainan sekaligus melangkah selaku juara Kumpulan A setelah mengumpul enam mata dari dua perlawanan.

Terdahulu pada Isnin, Malaysia bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Singapura 5-3.

Menentang Kemboja, Farisan Jasnal mencuri tumpuan apabila meledak lima jaringan pada minit ke-7, 14, 24, 36 dan 49 manakala ketua pasukan Mohd Sobri Ghazali menyumbang empat jaringan pada minit ke-16, 22, 46 dan 52.

Khairi Ismail, Uthman Surur dan Zul Asyraf Zulkifli menyumbang tiga lagi jaringan masing-masing pada minit ke-30, 37 dan 54.

Asnan yang membimbing pasukan ini menduduki tempat keempat di Para ASEAN 2015 berharap kemenangan akan menjadi penyuntik semangat terbaik buat pasukannya bagi menghadapi aksi separuh akhir pada Khamis.

“Kita sasarkan tiga mata tetapi saya tidak jangka kita boleh menang besar. Pemain-pemain semuanya begitu bermotivasi dan mereka mengikut arahan, bermain sepertimana taktikal yang dirancang. Saya harap kita dapat kekalkan momentum di separuh akhir dapat perbaiki pencapaian menduduki tempat keempat dua tahun lalu dengan mara ke final,” ujar Asnan.

Dua tahun lalu, Malaysia menduduki tempat keempat peringkat round robin dan kemudiannya tewas kepada Singapura dalam penentuan pingat gangsa.

Satu lagi slot separuh akhir dari Kumpulan A akan ditentukan oleh Singapura dan Kemboja yang akan berentap pada Rabu.

Dalam pada itu, juara bertahan Thailand terlepas peluang untuk turut mara ke separuh akhir setelah dikejutkan Indonesia 1-2 dalam aksi Kumpulan B yang berlangsung di padang sama.

Skuad Bongkoch Jansukwong yang menewaskan Myanmar dalam aksi pertama, berada di depan pada minit keenam menerusi Wanna Nattapong.

Malaysia bangkit dari ketinggalan untuk menewaskan Singapura 5-3 dalam perlawanan pembukaan Bolasepak Celebral Palsy (CP) Sukan Para ASEAN Kuala Lumpur 2017.

Namun Indonesia bangkit dengan dua jaringan di separuh masa kedua menerusi Joko Saputra Adi pada minit ke-32 dan Hernanda Yahya pada minit ke-46.

Peluang kini terbuka antara ketiga-tiga pasukan dalam Kumpulan B dan pertemuan antara Indonesia dan Myanmar pada Rabu akan menentukan dua pasukan yang melangkah ke separuh akhir.

- Advertisement -