Walaupun telah beberapa kali ‘dijentik’ oleh pemain-pemain, oleh Persatuan Bolasepak Malaysia (FAM), oleh laporan media sebelum ini, Marcerra Kuantan FA ibarat kebal peraturan.

Mereka senyap dan buat tidak tahu setiap kali isu mengenai tunggakan gaji dibangkitkan.

Tetapi sekali Football Malaysia Limited Liability Partnership (FMLLP) keluarkan senarai pasukan yang mungkin berdepan tindakan kerana gagal ataupun lewat melengkapkan pendaftaran pasukan, akhirnya mereka bersuara.

Dalam satu kenyataan, Presiden Marcerra United, Dato’ Sri Dr Feardaus Khairuddin, berkata kelewatan itu berpunca daripada proses pengambil alihan yang belum selesai di antara pihaknya dengan Kuantan FA.

Feardaus memberi jaminan jika pengurusan lama kelab berkenaan melaksanakan beberapa langkah segera dalam mematuhi terma dan syarat awalan yang dipersetujui kedua-dua pihak, bukan sahaja pendaftaran pasukan dapat disempurnakan, bahkan segala isu gaji tertunggak boleh diselesaikan segera.

 “Marcerra United masih menunggu Kuantan FA untuk memenuhi beberapa syarat dalam proses pengambil alihan, termasuk pengesahan hutang-hutang dan liability tertunggak yang perlu disahkan dengan laporan audit tahunan yang diakui dan mendapat kelulusan dari FAM, FMLLP dan Pesuruhjaya Sukan.

 “Ini adalah satu permintaan yang adil disebabkan kami mengeluarkan pelaburan yang besar untuk mengambil alih Kuantan FA. Isu pendaftaran yang lewat serta masalah hutang dan gaji tertunggak akan diselesaikan jika semua dokumen berkaitan diserahkan kepada pihak kami bagi melancarkan pengambil alihan berkenaan dan kelulusan daripada badan yang berkaitan diperolehi secepat mungkin. Kami tidak mahu Marcerra United dipandang secara prejudis,” kata Feardaus.

Marcerra United FC, menerusi sebuah syarikat khas atau special purpose vehicle milik Feardaus, mengambil alih skuad Kuantan FA dengan persetujuan melunaskan semua hutang-piutang kelab itu yang berjumlah RM3.5 juta.

Jumlah kos pengambil alihan membabitkan pelupusan hutang Kuantan FA dalam bentuk gaji pemain tempatan dan tenaga asing, serta caruman dalam Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) dan Pertubuhan Keselamatan Sosial Malaysia (Perkeso).

“Pelupusan hutang Kuantan FA seperti jumlah yang dipersetujui adalah teras kepada persetujuan pengambil alihan pasukan oleh Marcerra United. Sebagai ganti Marcerra United mendapat lesen bertanding dalam Liga Premier atas nama Marcerra Kuantan FA dan diluluskan FMLLP,” tambah Feardaus.

Bagaimanapun, Feardaus menjelaskan bahawa Marcerra United belum melunaskan bayaran kepada Kuantan FA atas beberapa faktor. Melalui surat tawaran yang dipersetujui kedua-dua pihak, Marcerra United FC meminta Kuantan FA mematuhi syarat awalan yang ditetapkan.

“Kami meminta semua tuntutan diperincikan atas nama ketelusan,” kata Feardaus.

Sebelum ini penyertaan Kuantan FA dalam Liga Premier musim 2018 menjadi tanda tanya gara-gara masalah kewangan yang membelenggu pasukan itu sehingga gaji pemain tidak dilunaskan selama anggaran 11 bulan.

Jurulatih dan bekas pemain Kuantan FA musim lalu juga menyatakan kekecewaan terhadap isu gaji tertunggak mereka sambil menyuarakan rasa pelik kelab itu diberi keizinan bersaing dalam Liga Premier. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

- Advertisement -