Selangor Pistons tidak mengharungi perjalanan musim yang agak baik ketika aksi pusingan pertama Sepaktakraw League 2018 apabila menang hanya dua dan tewas tujuh kali sekaligus menyaksikan mereka terperosok di kedudukan kedua tercorot.  

Tetapi setelah mengharungi lima perlawanan pusingan kedua, pasukan itu sudah pun menang tiga perlawanan termasuk buat pertama kalinya mencatat dua kemenangan berturut-turut dengan menewaskan Melaka Titans dan PDRM Defenders minggu lalu – lebih manis kedua-duanya dengan straight set.

Keputusan itu menyaksikan Selangor Pistons mengumpul 10 mata dan memperbaiki kedudukan dalam STL Premier dengan melonjak ke tangga kelapan. 

Peningkatan ditunjukkan pasukan itu dalam beberapa perlawanan terakhir nyata cukup menggembirakan jurulatihnya Amir Bakar justeru memberikan keyakinan kepadanya keputusan-keputusan lebih baik dapat dilakar dalam baki empat aksi terakhir bermula dengan perlawanan menentang Kelantan Warriors pada Sabtu.

“Sebenarnya penyakit utama kita adalah kita mengambil masa terlalu lama untuk beroleh rentak, untuk menyesuaikan diri dalam setiap perlawanan. Kita lazimnya bagi pihak lawan untuk selesa selepas itu baru nak mengejar, kebanyakan perlawanan macam tu.

“Saya optimis jika kita perbaiki aspek itu, kita sebenarnya mempunyai kekuatan seimbang dengan mana-mana lawan dan boleh tewaskan sesiapa sahaja. Kita boleh bermain permainan menyerang dan kita boleh bermain defensif, kita kena perbaiki beberapa kesilapan dan saya percaya kita akan mendapat keputusan positif,” ujar Amir.

Selepas menentang Kelantan Warriors pada Sabtu, Selangor Pistons akan menentang ‘jiran setempat’ KL Thunder pada Ahad dan selepas itu pada minggu yang terakhir nanti akan menentang dua pasukan yang menghuni tangga teratas Penang Black Panthers (23 November) dan ATM Guardians (24 November).

Secara realistik peluang untuk mereka menamatkan musim di kedudukan lima teratas adalah nampak mustahil tetapi setidak-tidaknya mereka berpeluang untuk memperbaiki pencapaian menduduki dua tangga tercorot pada tahun lalu.

Dalam pada itu saingan yang memasuki minggu ketujuh pada minggu ini dijangka akan memberi gambaran jelas mengenai pasukan mana yang akan bergelar juara STL Premier.

ATM Guardians yang sedang menerajui liga dengan hanya kelebihan set akan turun berdepan PDRM Defenders pada Sabtu disusuli Kelantan Warriors pada Ahad, manakala juara bertahan Penang Black Panthers pula menentang KL Thunder dan Johor Tigris.

 

Jadual STL Premier :

17 November (Sabtu, bermula 5 petang) :

PDRM Defenders lwn ATM Guardians

Terengganu Turtles lwn Melaka Titans

Kelantan Warriors lwn Selangor Pistons

Johor Tigris lwn Penang Black Panthers

 

18 November (Ahad, bermula 5 petang)

ATM Guardians lwn Kelantan Warriors

Melaka Titans lwn Perak Bison

Selangor Pistons lwn KL Thunder

PDRM Defenders lwn Terengganu Turtles

- Advertisement -