MFL tidak jamin ada kelonggaran dalam isu Sumareh

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/01/mfl-tidak-jamin-ada-kelonggaran-dalam-isu-sumareh">
Twitter
Pinterest

 

 

Keputusan sama ada Mohamadou Sumareh boleh didaftarkan oleh Persatuan Bolasepak Negeri Pahang (PBNP) sebagai pemain tempatan bagi musim baru Liga Malaysia dengan kadar segera ataupun terpaksa tunggu sehingga Mac 2019 akan diketahui pada 16 Januari depan.

Ketua Pegawai Eksekutif MFL Kevin Ramalingam berkata rayuan PBNP berhubung perkara itu telah diterima dan ianya akan diperhalusi dalam mesyuarat Ahli Lembaga Pengarah pada tarikh tersebut.

Begitupun Kevin memberi bayangan awal ianya sukar untuk badan itu memberi kelonggaran sekali lagi dalam isu tersebut kerana sebelum ini mereka telahpun memendekkan tempoh ‘menunggu’ dari lima tahun kepada satu tahun berikutan rayuan dikemukakan oleh PBNP.

“Dalam peraturan sudah ditetapkan lima tahun untuk pemain naturalisasi didaftarkan sebagai tempatan dalam Liga-M jadi kita perlu mengikut peraturan ini tapi dalam kes Sumareh kita beri sedikit keistimewaan, pendekkannya kepada setahun atas beberapa faktor termasuk dia sudah bermastautin di negara ini lebih 12 tahun.

“Begitupun kita mahu memberi penegasan bahawa kita tidak boleh terus beri kelonggaran selepas ini kerana kita tidak mahu jika ada lagi pemain naturalisasi dibawa masuk, akan terus didaftarkan sebagai pemain tempatan dan akhirnya akan memberi kesan kepada perkembangan pemain tempatan,” jelasnya.

Terdahulu Pahang dilaporkan meminta kelonggaran MFL untuk menyenaraikan Sumareh sebagai pemain tempatan sebaik liga bermula dan bukannya menunggu bulan Mac kerana berpendapat tiada sebab untuk menunggu lebih lama memandangkan pemain itu sudah diberikan taraf kerakyatan sah dan telahpun mewakili Harimau Malaya.

Mengulas lanjut, Kevin berkata, “MFL tiada sebarang agenda untuk melambatkan pendaftaran Sumareh sebagai tempatan, ia tidak perlu ditimbulkan. Kita sudah buat keputusan sebelum ini dan selepas itu baru Pahang merayu menerusi surat yang kita terima pada 19 Disember.

“Jadi perkara inilah yang akan diperhalusi dan dibincangkan oleh Ahli Lembaga Pengarah MFL nanti sebelum buat keputusan sama ada boleh beri kelonggaran atau tidak.” MUHD AIMAN 

Please follow and like us:
0