Azrol tidak mahu persiakan peluang ketiga

Follow by Email
Facebook
Google+
http://www.sports247.my/v1/2019/05/azrol-tidak-mahu-persiakan-peluang-ketiga">
Twitter
Pinterest

“Terima kasih YAM Tengku Fahd, terima kasih pengurusan Pahang Rangers kerana masih memberikan saya kepercayaan untuk menyarung jersi pasukan ini,” itu ayat pertama yang keluar dari mulut Azrol Hairun apabila ditanya mengenai perasaannya diberi peluang buat kali ketiga berada di dalam skuad Pahang Rangers.

Pemain berusia 26 tahun ini, dianggap antara bakat terbaik dalam arena futsal Pahang, namun beberapa isu peribadi dan perselisihan faham dengan barisan kejurulatihan menyaksikan dia pernah dua kali membuat keputusan meninggalkan pasukan sebelum ini.

“Saya adalah batch terawal pasukan ini (dulu dikenali Kuantan Rangers) pada 2017. Sebelum itu saya telah beberapa musim bermain untuk Pahang dan apabila KRFC buat trial, rezeki saya di sini. Tetapi hanya selepas beberapa bulan, ada perselisihan faham dengan coach selain isu kecederaan membuatkan saya undur diri daripada pasukan sebab tidak mahu keruhkan keadaan.

“Ini menyebabkan saya terlepas beberapa detik penting seperti bermain di Liga Futsal Brunei dan juga tidak dapat menyertai Tour De Lombok. Saya kemudian kembali ke dalam skuad untuk musim 2018 atas nasihat kawan-kawan dan peluang kedua yang diberikan Coach, tetapi malangnya sekali lagi situasi sama berulang dan saya undur diri, sebelum menyertai Pahang semula sehingga akhir musim.

“Ini kali ketiga saya di sini, ia peluang yang sangat saya hargai dan saya tekad tidak akan kecewakan kepercayaan jurulatih dan pengurusan. Saya janji, anda semua akan saksikan Along yang berbeza musim ini, adalah menjadi harapan saya untuk menoktahkan perjalanan dalam futsal, dengan merasai nikmat bergelar juara,” ujar Azrol.

Azrol berkata penglibatannya di dalam futsal bermula sejak ketika di bangku sekolah ketika usianya sekitar 14 tahun dan pengalaman kompetitif pertamanya hadir lima tahun kemudian apabila membarisi skuad futsal Pahang yang memenangi pingat gangsa Sukan Malaysia (SUKMA) Kuala Lumpur pada 2013.

“Dari pencapaian di SUKMA itu lah karier saya semakin berkembang, saya dapat tunjukkan kepada semua potensi yang saya ada dan mengukuhkan kedudukan saya dalam skuad futsal Pahang, sebelum bermain untuk Melaka pada 2015 dan kembali bermain untuk Pahang pada 2016,” ujar pemain yang menjadikan bintang futsal dari Portugal, Ricardinho sebagai idola ini.

Mengenai peluang Pahang Rangers dalam edisi sulung Malaysia Premier Futsal League (MPFL) yang akan membuka tirai selepas Hari Raya Aidilfitri, Azrol berkata skuad tok gajah memiliki skuad yang jauh lebih berkualiti berbanding musim terdahulu dengan kehadiran ramai tonggak pasukan kebangsaan  seperti Khairul Effendy Bahrin, Azwann Ismail dan Abu Haniffa Hassan justeru dilihat mampu mencabar kejuaraan secara serius.

“Apapun kita kena ingat, walaupun kita ada ramai pemain kebangsaan dan atas kertas merupakan pasukan yang dianggap tumpuan, kita tetap kena kerja keras dan tidak boleh ambil lewa cabaran  pasukan lain. Kita akan menjadi pasukan yang mahu ditewaskan oleh semua jadi tak boleh leka, perlu fokus setiap perlawanan.

“Tengku Fahd telah banyak berkorban untuk pasukan ini, pengurusan telah melakukan yang terbaik untuk menyediakan setiap keperluan jadi saya anggap inilah masanya kita membalas semua itu dengan kemenangan, dengan kejayaan. Itu adalah hadiah terbaik kepada mereka,” katanya. – OLEH MUHAMMAD AIMAN

Please follow and like us:
0