sea_games_2017

Oleh Ku Mohd Lufti

Tugas getir perlu dipikul skuad angkat berat negara dalam misi memburu emas di Sukan SEA 2017 di ibu negara tahun depan.

Namun, ia bukan kerisauan utama ketua jurulatih angkat berat negara, Lukman Junarto, sebaliknya beliau lebih gusar terhadap mentaliti atlet.

Jelas Lukman, latihan sahaja belum memadai andai mahu mengimpikan kilauan emas menjadi milik mereka.

“Semua itu terpulang kepada atlet. Kita sudah ada kemudahan terbaik untuk latihan termasuklah pemakanan yang seimbang. Namun bagi saya sebagai jurulatih, displin atlet masih belum lagi ditahap terbaik. Ia perlu ditekankan lagi dari semua aspek jika mereka mahukan persembahan yang baik.” Kata Lukman.

Fasa pertama untuk latihan kem angkat berat sudahpun diadakan sejak tahun lalu sehingga September tahun ini sebelum pemilihan atlet bagi fasa kedua dilakukan.

Malah, beberapa pertandingan dalam dan luar negara akan turut menjadi kayu ukur buat atlet angkat berat sebelum sesi pemilihan ke fasa kedua bermula.

Pengendali kelahiran Indonesia ini mula membimbing skuad angkat berat negara sejak 2014.

Kali terakhir acara angkat berat dipertandingkan adalah di Sukan SEA 2013 di Myanmar dimana Malaysia meraih dua pingat gangsa dalam kategori 94 kilogram lelaki menerusi Mohd Faiz Musa serta Nor Khasida Abd Halim (gambar utama), kategori 69 Kilogram.

- Advertisement -