mas.new.caledonia

Oleh Ku Mohd Lufti

Persoalan tentang status perlawanan persahabatan antarabangsa berstatus “A” antara Malaysia dan New Caledonia di Stadium Numa Daly, Noumea 22 Jun lalu terjawab.

Badan induk bolasepak dunia, FIFA mengesahkan status perlawanan “A” ditarik balik kerana melanggar Artikel 10.1 dalam FIFA Regulation Governing International Matches’.

FAM menerusi kenyataan oleh Setiausaha Agung, Datuk Hamidin Mohd Amin menjelaskan, New Caledonia tidak menggunakan pembantu pengadil yang diiktiraf dalam senarai terkini pengadil dan pembantu pengadil FIFA.

“Pihak tuan rumah bagi perlawanan New Caledonia bertemu Malaysia iaitu FCF telah melantik hanya pengadil dari senarai FIFA tetapi dua pembantu pengadil yang dilantik itu nama mereka tiada dalam Senarai Pengadil & Pembantu Pengadil FIFA 2016.

Itu yang menyebabkan keputusan perlawanan berkenaan yang berkesudahan Malaysia menang 2-1 tidak dipaparkan di laman web FIFA, sekali gus ia tidak dikira untuk kiraan mata bagi ranking FIFA yang kemas kini berikutnya akan dibuat pada 14 Julai depan.” Kata Datuk Hamidin.

Malah Datuk Hamidin turut memaklumkan, FAM telah mengikuti prosedur yang ditetapkan, mengisi boring permohonan untuk perlawanan persahabatan antarabangsa “A” bagi ketiga tiga perlawanan dalam siri jelajah Oceania 2016 pada 31 Mei lalu.

Malaysia mengatur perlawanan dengan Papua New Guinea, New Caledonia dan Fiji.

Surat jawapan berhubung boring permohonan tersebut telah diberikan Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) dan New Caledonia juga menerima surat kebenaran daripada Konfederasi Bolasepak Oceania (OFC).

FAM akan membuat rayuan kepada FIFA memandangkan Malaysia hanya menang perlawanan itu sahaja manakala seri ke atas Fiji dan tewas kepada Papua New Guinea.

- Advertisement -