kelantan

Oleh Muhammad Aiman

Pendirian tidak konsisten Persatuan Bolasepak Kelantan (KAFA) sekadar memakan diri apabila mereka kehilangan khidmat pemain tengah import, Jonatan Lucca yang memilih untuk tidak menerima tawaran kedua menyertai pasukan itu.

Lucca sebelum ini merupakan seorang daripada dua pemain import Kelantan yang digugurkan berikutan kegagalan beraksi di tahap dikehendaki jurulatih dan penyokong The Red Warriors, namun kegagalan Kelantan mencari pengganti lebih baik tatkala masa semakin suntuk, memaksa KAFA kembali menawarkan tempat buat pemain itu.

Pemain kelahiran Santa Maria itu bagaimanapun tidak berminat dengan ‘pusingan U’ persatuan itu dan memilih untuk pulang ke negara kelahirannya tanpa memberi sebarang alasan, namun adalah difahami dia seperti berpatah arang dengan sikap kurang profesional KAFA.

Setiausaha Agung KAFA, Datuk Ismail Mohd Nor ketika mengesahkan perkara itu berkata, “Pada awalnya memang kita gugurkan dia, tetapi KAFA mahu memberi dia peluang sekali lagi kerana selepas mencuba beberapa pemain, kita masih belum menemui pemain lebih baik dari dia. Tetapi dia menolak tawaran kita dan kita hormati keputusannya.”

Untuk rekod, Lucca yang pernah menyarung jersi AS Roma pada 2012 dibawa masuk pada awal musim ini sebagai mengisi satu dari tiga kekosongan pemain import di kem Kelantan, namun kelibatnya di atas padang tidak banyak memberi impak terhadap prestasi skuad bimbingan Velizar Popov itu.

Selain Lucca, Kelantan turut menggugurkan bekas penjaring terbanyak Liga Super, Dramane Traore pada pintu perpindahan kedua Liga Malaysia dan telah membawa masuk bekas pemain Ratchaburi Mitr Phol FC, Wander Luiz Bitencourt Junior.

Mereka juga telah menguji tiga lagi pemain iaitu Akram Abdul Ghanee (Maldives) serta Cameron Watson dan Diego Ferrera dari Australia sepanjang tempoh cuti panjang Liga Malaysia namun kesemuanya gagal menambat hati Popov.

Dengan tarikh tutup pendaftaran pemain baru berbaki lebih kurang 11 hari sahaja lagi, Kelantan kini berdepan cabaran sukar untuk memenuhi kuota empat pemain import, dan situasi ini mungkin juga akan mendorong kepada berlakunya episod ‘tangkap muat’ import yang akhirnya sekadar akan merugikan pasukan.  

- Advertisement -